Jentera Umno kini tumpu menangkan MCA di Tanjung Piai


Mohd Farhan Darwis

Jentera BN yang ditemui di kawasan DUN Kukup dan Pekan Nanas tidak akan memboikot calon dipilih walaupun mengakui agak kecewa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2019.

JENTERA Umno di Tanjung Piai sudah melupakan rasa tidak puas hati calon mereka tidak diturunkan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan ditentukan pada hari pengundian seminggu lagi, kata pemimpin akar umbi parti.

Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai Jefridin Atan berkata akar umbi dan jentera parti mula memahami tujuan sebenar kerusi itu kekal ditandingi calon MCA selepas mendengar penerangan pimpinan parti.

“Memang ada sedikit kegelisahan mengenai calon pada peringkat awal tetapi apabila kita beri penjelasan dan perlunya ada muafakat dan kerjasama, kekecewaan ini semakin berkurangan.

“Memang memerlukan masa sehari dua tetapi bagi saya ia menunjukkan mereka bersetuju dengan calon MCA dan tiada masalah tentangan hebat apabila MCA dicalonkan,” kata Jefridin kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, peningkatan sokongan juga dapat dilihat daripada kehadiran orang ramai dalam ceramah kelompok anjuran Barisan Nasional (BN) di pusat daerah mengundi (PDM) dan bilik gerakan mereka.

“Selain kempen ceramah perdana kita juga ada ceramah di PDM dan bilik gerakan, dapat dilihat sambutan pengundi kepada BN sudah semakin meningkat,” katanya.

Sebelum BN mengumumkan calon pada 30 Oktober, Umno Tanjung Piai melobi supaya parti meletakkan calon Melayu atas perkiraan kawasan itu mempunyai majoriti pengundi Melayu iaitu 57% daripada 52,986 pengundi.

Calon yang mahu diketengahkan ialah Jefridin, namun BN memutuskan kembali mencalonkan Wee Jeck Seng, ahli Parlimen dua penggal yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Semasa PRU14, walaupun kalah Wee mendapat majoriti undi daripada pengundi Melayu.

Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai Jefridin Atan berkata akar umbi dan jentera parti mula memahami tujuan sebenar kerusi itu kekal ditandingi calon MCA selepas mendengar penerangan pimpinan parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Ariffin, 8 November, 2019.

Menurut Jefridin, calon BN juga kini disokong oleh pengundi dalam kalangan ahli PAS, walaupun komponen Gagasan Sejahtera iaitu Berjasa meletakkan calonnya bertanding.

“Pendirian PAS cukup jelas apabila Setiausaha Agung Takiyudin Hassan buat penjelasan mereka tak bersama Berjasa. Apabila PAS buat pendirian tidak bersama Berjasa ini bermakna mereka bersama MCA.

“Sambutan ahli PAS juga ramai. Saya pergi ke peringkat kawasan di Tanjung Piai mereka katakan sokongan ahli PAS kepada calon MCA selari dengan nada presiden dan setiausaha agung parti,” katanya.

Jentera BN yang ditemui The Malaysian Insight di kawasan DUN Kukup dan Pekan Nanas mengakui mereka kecewa dengan pemilihan Wee namun tidaklah sampai mereka akan memboikotnya kali ini.

Sebaliknya, gerak kerja akar umbi Umno lebih mudah memandangkan rekod cemerlang Wee sewaktu menjadi wakil rakyat mereka.

Osman, petugas jentera Umno dari Bahagian Johor Bahru, berkata, ahli Umno sedar kemenangan ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu adalah kemenangan untuk BN dan Umno.

“Kita berjumpa seramai mungkin pengundi, mereka sedar walaupun calon MCA tapi pucuk pimpinan BN tetap Umno, kalau MCA menang maknanya BN juga menang,” katanya, ketika ditemui di kawasan Kukup Laut.

“Pengundi juga tiada masalah dengan Wee kerana perkhidmatan beliau selama dua penggal di sini membantu rakyat cukup baik, memang ramai orang yang kenal dengan calon kita,” tambahnya.

Pemimpin Umno dalam peringkat awal kempen juga memberi penerangan kewajaran BN mengekalkan MCA di kerusi yang ditandingi mereka sejak PRU 2004 lagi.

Penasihat BN Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dalam pertemuan bersama jentera menjelaskan pencalonan Wee memberi isyarat Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai Umno dan PAS mesra komuniti bukan Islam.

Tanjung Piai kata mereka akan menjadi titik tolak penerimaan parti pribumi di Sabah dan Sarawak yang akan membantu BN membentuk kerajaan dalam PRU15 akan datang.

Johari Shuib, 58, sukarelawan Umno dari Penerok berkata, akar umbi juga jelas dan faham Wee hanyalah jambatan untuk menyampaikan suara rakyat ke Parlimen.

“Mula-mula mereka seboleh-bolehnya nak orang kita, tapi kita fahamkan dan beri penerangan. 

“Kita bukan undi Wee Jeck Seng, kita undi BN. Wee hanya penyampai kepada rakyat,” katanya lagi.

Ramai pengundi di Tanjung Piai terhutang budi dengan Wee Jack Seng yang menurut mereka sangat prihatin terhadap golongan miskin termasuk nelayan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 November, 2019.

Jelas beliau, rekod perkhidmatan Wee seperti menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada 500 keluarga miskin setiap tiga bulan sangat berkesan dalam membantu penerimaan masyarakat terhadapnya.

“Beliau bukan setakat beri beras, minyak masak, dan barangan keperluan harian setiap tiga bulan, tetapi kehadirannya turut disertai tiga hingga empat doktor yang memberi perkhidmatan rawatan kesihatan percuma kepada penduduk kampung,” kata bekas ahli jawatankuasa, kemajuan, dan keselamatan kampung itu.

Seorang lagi akar umbi parti, yang enggan dikenali turut mengakui pengundi rasa terhutang budi kepada Wee kerana rasa prihatin dengan kebajikan pengundi.

“Pernah berlaku kejadian lapan bot dan enjin milik nelayan hilang, Wee minta tempoh sebulan untuk cari jalan bantu, tetapi belum sampai sebulan, lapan bot siap dengan enjin sampai, mana orang tak sayang dengan dia.

“Bukan barang murah-murah, enjin siap dengan bot setiap set sudah menelan kos berapa ribu ringgit, ini dia bantu lapan set,” kata kakitangan awam yang enggan mendedahkan identitinya.

Sementara itu, Jefridin berkata, sebagai pengarah operasi PRK Tanjung Piai, kerjasama rakan komponen BN juga membantu peningkatan sokongan rakyat kepada parti itu.

“Kita melihat rakan komponen daripada MCA dan MIC turut serta, ini menunjukkan isyarat cukup baik mereka kembali memberi sokongan kepada BN, di situ menunjukkan kempen kita dari segi sokongan orang kepada BN sudah kembali,” katanya. – 8 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen