MALAYSIA perlu membina kepercayaan dengan kerajaan negara lain bagi memudahkan urusan ekstradisi suspek buruan, kata pegawai anti rasuah dunia ketika negara berusaha mengheret Low Taek Jho ke muka pengadilan.
Naib Pengerusi Anti Rasuah Organisasi untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) Lorenzo Salazar berkata Konvensyen tentang Pemerangan Rasuah Pegawai Awam Asing dalam Transaksi Perniagaan Antarabangsa memberikan kerangka perundangan untuk ekstradisi orang dihendaki dalam kes korupsi rentas sempadan.
Tetapi, Malaysia bukanlah penandatangan konvensyen yang disertai 44 ahli itu termasuk beberapa buah negara buka OECD, katanya.
Terlibat dalam konvensyen itu akan membantu kerjasama negara dalam ekstradisi orang buruan, tambah Salazar lagi.
“Masalah utama ekstradisi adalah kepercayaan. Anda perlu percaya negara lain untuk melaksanakan permintaan ekstradisi, jadi anda perlu bina kepercayaan bersama antara negara.
“Pembinaan kepercayaan bersama antara negara adalah syarat awal yang sangat penting untuk ekstradisi dan menjadi ahli konvensyen OECD akan membantu sesebuah negara menjadi sebahagian daripada komuniti yang membolehkan pendakwa raya berjumpa dan membina kepercayaan antara mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa 2019 baru-baru ini.
Salazar diminta mengulas tentang usaha Malaysia memburu Low, dan sama ada menjadi penandatangan konvensyen akan membantu Malaysia mencarinya.
Low dihendaki di Malaysia untuk dibicarakan berkaitan kesalahan pengubahan wang haram menggunakan hasil rompakan dana 1Malaysia Development Bhd.
Menerusi peguamnya, jurucakap Low, berkata ahli perniagaan Pulau Pinang itu sudah ditawarkan suaka pada Ogos lepas, tetapi tidak menyatakan negara mana yang menawarkannya dan sama ada Low menerimanya.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berikrar Malaysia akan terus memburu Low dan mengheretnya ke muka pengadilan.
Salazar bagaimanapun, berkata Konvensyen Anti Rasuah OECD dan treati lain yang serupa memberikan kerangka perundangan untuk kerjasama antara negara dan membina kepercayaan antara mereka.
Ia membolehkan perjumpaan pendakwa raya awam pelbagai negara, meminta bantuan perundangan dan memudahkan proses ekstradisi, jelasnya. – 8 November, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen