Cadangan kurang tempoh reman Sosma masih dikaji, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Cadangan kurangkan tempoh reman Sosma masih dalam kajian, kata Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2019.

CADANGAN memendekkan tempoh reman tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) daripada 28 hari kepada 14 hari memerlukan perbincangan lanjut dan kajian menyeluruh, kata Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.

“Itu (tempoh reman) baru di peringkat cadangan dan kita perlu lihat selepas ini. Perbincangan dan kajian tertentu perlu dilakukan,” katanya pada sidang media di Universiti Malaya, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata ada yang berpandangan tempoh reman 28 hari sekarang terlalu panjang dan perlu disingkatkan.

Tetapi, beliau berpandangan yang polis mungkin memerlukan lebih masa untuk siasatan misalnya yang melibatkan kes keganasan.

Dalam perkembangan lain, Mazlan mengalu-alukan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan had transaksi tunai (CTL) RM25,000 untuk mengukuhkan integriti kewangan negara.

“Ia satu usaha yang baik dan kita merasakan ia dapat membantu kita dalam menjalankan siasatan bagi kes-kes yang berkaitan.

“Kita akan ikut BNM, mereka sudah buat kajian mengenai perkara ini dan saya rasa ia sesuai pada masa ini,” katanya.

Awal hari ini, Timbalan Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour mendedahkan cadangan BNM untuk mewajibkan pengisytiharan transaksi tunai membabitkan jumlah wang melebihi RM25,000 pada tahun hadapan, antara langkah institusi itu mengekang aktiviti haram.

Katanya, pelaksanaan CTL itu nanti akan mengukuhkan rangka kerja peraturan Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Pembanterasan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT). – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen