PKR lapor polis calon MCA didakwa janji taja umrah


Mohd Farhan Darwis

Wee Jeck Seng didakwa menjanjikan tajaan umrah sekiranya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu Sabtu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 November, 2019.

PENGARAH Komunikasi PKR Fahmi Fadzil membuat laporan polis terhadap calon MCA Wee Jeck Seng kerana didakwa menjanjikan tajaan umrah sekiranya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu Sabtu ini.

Fahmi yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai membuat laporan berkenaan di Balai Polis Travers pada pukul 4:10 petang tadi.

“Saya baru sahaja membuat laporan polis terhadap calon Barisan Nasional bagi PRK Tanjung Piai, Wee Jeck Seng, berkait satu rakaman video di mana beliau dipercayai membuat janji untuk hantar warga emas mengerjakan umrah.

“Saya percaya ini mungkin satu sogokan yang, jika benar, melanggar Seksyen 10, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata Fahmi, dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook miliknya, hari ini.

Fahmi turut melampirkan rakaman video yang diambil daripada laman portal berkenaan.

“Saya janji InsyaAllah kalau kita menang kali ini kita hantar lagi warga emas sedemikian ke tanah suci untuk menunaikan umrah,” kata Wee, dalam rakaman video berkenaan.

Sejak bermulanya kempen PRK Parlimen Tanjung Piai, polis sudah menerima lapan laporan dengan tiga kertas siasatan sudah dibuka, kata Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh.

Ia termasuk ucapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub yang didakwa memberi ucapan berunsurkan perkauman dan hasutan dalam satu perjumpaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio Kukup, baru-baru ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen