MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub menafikan kenyatan beliau di sebuah sekolah ketika berkempen di Tanjung Piai baru-baru ini berbaur perkauman.
Susulan itu kata Salahuddin, beliau bersedia untuk diambil keterangan oleh pihak polis bagi menjelaskan maksud sebenar ucapannya itu.
“Setakat ini saya tidak terima apa-apa lagi, terpulang kepada polis. Saya tidak ada masalah. Dia (pembangkang) tuduh saya rasis (pasal video) itu. Apa yang rasis?
“Apa yang diucapkan pada ucapan itu tidak langsung saya rasa rasis atau seumpamanya,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Salahuddin bagi membantu siasatan berhubung penularan klip video berbaur perkauman pada perjumpaan tertutup di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio, Kukup Laut baru-baru ini.
Mustafa berkata, klip video yang memaparkan petikan dipercayai daripada Salahuddin itu dilihat mampu mengancam keselamatan dan kestabilan negara.
Menurutnya, polis akan cuba mempercepatkan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) di IPD Pontian, pada Rabu berhubung penularan klip video berkenaan.
Video ucapan Salahuddin ketika bertemu wakil PIBG SJKC Pei Chiao, tersebar di media sosial, yang antara lain menyebut negara akan huru-hara jika mereka memberi kuasa kepada Barisan Nasional yang bersahabat dengan PAS.
“Kita kena jaga keharmonian ketika ini. Kita boleh berniaga, bersekolah. Tiada orang tembak sana sini, bakar sana sini,” katanya dalam video itu. – 7 November, 2019.
Komen