MALAYSIA tidak akan bergaduh dengan negara yang menjadi tempat perlindungan bagi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata Malaysia sedar kekurangannya dalam kekuatan ketenteraan untuk menentang negara kuat dan tidak mahu mengambil risiko berperang hanya kerana Jho Low, dalang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kita boleh berperang, tetapi kita akan kalah perang itu dan hilang Jho Low. Kita sedar kita bukan negara yang sangat kuat.
“Kadangkala orang baik dengan kita, kadangkala tidak. Kita perlu menerimanya,” kata perdana menteri kepada media hari ini.
Beliau tidak menamakan negara berkenaan.
Dr Mahathir hari ini menafikan cakap-cakap tentang Low mungkin menjalani pembedahan plastik untuk mengubah rupanya dan pemilikan pelbagai pasport hanya khabar angin.
Beliau berkata pihak berkuasa bekerja keras untuk mendapatkan maklumat, tetapi ia bukan mudah untuk diperoleh.
“Kita bekerja keras untuk bawa dia balik. Tetapi ia bukan mudah. Saya diberitahu dia mungkin ada banyak pasport, ada yang kata dia ubah muka dia. Semua khabar angin ini, tidak ada bukti,” kata Dr Mahathir. – 7 November, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen