Hujan lebat tidak halang rakyat Jepun keluar mengundi


Stesen pengundian dibuka di seluruh negara pada jam 7 pagi dengan pengundi terpaksa mengharung angin kencang dan hujan lebat ketika taufan dijangka melanda Jepun yang boleh mempengaruhi jumlah keluar pengundi. – Gambar AFP, 22 Oktober, 2017.

JUTAAN rakyat Jepun tetap keluar mengundi pada Ahad walaupun dengan ancaman ribut yang mungkin memberi Perdana Menteri Shinzo Abe mandat baru untuk memulihkan ekonomi ketiga terbesar di dunia dan menekan pendirian tegasnya terhadap Korea Utara.

Sekiranya tinjauan sebelum pilihan raya tepat, gabungan konservatif Abe bakal memperoleh kemenangan bagi memenangi penggal baru untuk meneruskan kerjasama dengan AS dan menjadi kuasa ekonomi Asia.

Stesen pengundian dibuka di seluruh negara pada jam 7 pagi dengan pengundi terpaksa mengharung angin kencang dan hujan lebat ketika taufan dijangka melanda Jepun yang boleh mempengaruhi jumlah keluar pengundi.

Penganalisis berkata, jumlah pemilih yang rendah berkemungkinan memberi manfaat kepada Abe, dengan pengundi konservatif yang lebih berazam.

Gerimis yang turun sepanjang kempen tidak menjejaskan semangat jentera pilihan raya yang sanggup menggunakan bas mini untuk berkempen, merayu para pengundi dengan pembesar suara untuk keluar menunaikan tanggungjawab.

Abe mengejutkan Jepun dengan memanggil pilihan raya tahun ini lebih awal daripada jangkaan, mendesak pengundi untuk terus bersamanya dalam menghadapi dua “krisis nasional” iaitu populasi yang semakin tua dan ketegangan dengan Korea Utara.

Ancaman Pyongyang membayangi kempen 12 hari yang pendek, setelah ia melepaskan dua peluru berpandu ke atas pulau utara Hokkaido dan mengancam akan “menenggelamkan” Jepun.

Abe menyokong menyokong pendirian Amerika yang “semua pilihan” tersedia untuk menangani ancaman nuklear Pyongyang dan mendesak tekanan maksimum melalui sekatan.

“Apabila Korea Utara sengaja mengancam kita dan meningkatkan ketegangan, kita tidak harus goyah,” kata Abe pada kempen terakhirnya.

“Kita tidak boleh menyerah kepada ancaman Korea Utara.” – AFP, 22 Oktober, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen