KETUA Polis Negara, Abdul Hamid Bador tidak terkejut dengan tindakan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke atas Adun Seremban Jaya P Gunasekaran.
Menurutnya, semua pertuduhan ke atas 12 individu yang ditahan berkaitan LTTE itu dirangka Jabatan Peguam Negara (JPN).
“Saya tidak terkejut dan percaya mungkin berkaitan isu taktikal. Tetapi saya belum mendapat alasan sebenar di sebalik keputusan itu.
“Pertuduhan ke atas 12 orang itu dirangka JPN berdasarkan berdasarkan bukti dalam kertas siasatan,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Cheras, hari ini.
Beliau juga tidak mengesyaki ada isu di sebalik tindakan pasukan pendakwaan.
“Semestinya ada sebab tertentu kerana ia membabitkan keperluan undang-undang. Ia adalah biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Gunasekaran.
Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.
Sebelum ini, Gunasekaran yang juga timbalan pengerusi DAP Negeri Sembilan dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu atas pertuduhan tambahan.
Gunasekaran adalah salah seorang daripada dua Adun bersama lima individu ditahan pada 10 Oktober lalu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.
Dua hari kemudian, lima lagi individu ditahan di Melaka, Selangor dan beberapa negeri lain atas kesalahan sama oleh Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman. – 6 November, 2019.
Komen