Jho Low sembunyi macam ayam tapi bukan di Cyprus, kata KPN


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS percaya ahli perniagaan yang kini sedang diburu, Jho Low berada di sebuah negara lain yang terpencil dan bukan di Cyprus seperti dilaporkan media.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, penyiasat bagaimanapun mendapati Jho Low cuba memperolehi harta menggunakan nama individu lain di negara kepulauan Caribbean itu.

Ia berdasarkan maklumat daripada beberapa individu yang ditahan pasukan siasatan khas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), katanya.

“Tetapi yang pasti dia tidak berada di Cyprus tetapi di sebuah negara yang agak terpencil dan pasti sukar untuk keluar dari persembunyiannya. Dia bersembunyi seolah-olah ayam,

“Pasukan siasatan mengkaji semua petunjuk termasuk Jho Low yang berada di Cyprus dan hasilnya kami membuat tangkapan dan merungkai dia cuba mendapatkan harta di Cyprus dengan menggunakan nama orang lain,” katanya.

Beliau mengulas laporan yang mendakwa Jho Low tiba di Cyprus pada September 2015 dan mendapat pasport menerusi skim kewarganegaraan berdasarkan pelaburan negara itu.

Ia didakwa dijalankan beberapa hari selepas melabur dalam sektor hartanah di Ayia Napa sewaktu skandal 1MDB belum mendapat perhatian.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid juga berkata agak mustahil untuk Jho Low berada di Cyprus kerana ahli perniagaan itu akan mudah dikenal di pulau itu.

“Cyprus bukan lokasinya. Raut mukanya berbeza dengan penduduk tempatan,” katanya.

Abdul Hamid juga menyatakan rasa kecewanya dengan pihak berkuasa negara yang menjadi lokasi penyembunyian Jho Low.

Beliau yang enggan menamakan negara terbabit berkata, pihak berkuasa berkenaan memberi pelbagai alasan untuk tidak membantu siasatan polis Malaysia.

“Saya amat kecewa apabila permintaan saya tidak dilayan dengan memberikan pelbagai alasan, sedangkan kita sudah bagi kerjasama yang baik kepada negara berkenaan,” katanya.

Abdul Hamid juga menjelaskan kenyataannya berkenaan alasan pihak berkuasa negara terbabit mengenai masalah mengenalpasti Jho Low.

Beliau pada Isnin lalu berkata, pihak berkuasa berkenaan mendakwa Jho Low membuat pembedahan plastik sehingga menyerupai beruang dan berjalan seperti seladang.

Abdul Hamid menjelaskan, alasan itu sukar diterima kerana maklumat kedudukan Jho Low itu sepatutnya mudah diperolehi.

“Alasan yang diberitahu susah untuk menjejak Jho Low antaranya kemungkinan dia melakukan pembedahan plastik.

“Dunia semakin canggih, maklumat cukup mudah diperolehi dan dilengkapkan.

“(Tetapi) sekiranya (ada) alasan (kononnya) dia menjalani pembedahan sehingga boleh berubah, saya tidak boleh terima,” katanya.

Ketika ditanya, Abdul Hamid berkata, pasukannya tetap bersabar dan akan memberi kerjasama secara formal dan tidak formal kepada negara berkenaan.

“Pelbagai cara digunakan bukan jalur rasmi saja,” katanya lagi.

Tambah beliau, usaha untuk mengesan individu yang didakwa merompak dana negara itu dijalankannnya sejak tahun 2015.

“Saya akan terus berusaha dan saya tahu Jho Low masih mengawal banyak duit, berbilion dalam kawalannya,” katanya.

Malaysia membatalkan pasport Jho Low dan mengeluarkan waran tangkap ke atas jejaka kelahiran Pulau Pinang itu.

Malaysia turut meminta bantuan Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, India, Myanmar, China serta Hong Kong bagi mengesannya. – 6 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen