AKAR umbi Umno di Tanjung Piai perlu menerima keputusan meletakkan Wee Jeck Seng sebagai calon PRK kawasan Parlimen tersebut, kata timbalan presidennya Mohamad Hasan.
Gesaan itu bagi mendamaikan ahli Umno yang menentang keputusan BN meletakkan calon MCA yang sudahpun tewas dalam PRU14 di kawasan majoriti Melayu itu.
Jelas Mohamad, tindakan meletakkan calon bukan Melayu itu penting bagi menunjukkan sikap Umno yang tidak rasis bagi memenangi PRU15.
“Kita letak calon yang rasa boleh menang untuk hantar mesej Umno bukan rasis seperti dituduh orang atau Pakatan Harapan, kita lihat kepentingan pada PRU15 nanti.
“Jangan hanya pandang gambar Tanjung Piai. Pandang gambar besar, kita nak ambil Putrajaya. Kalau setakat menang di Tanjung Piai tapi Putrajaya tak menang, tak guna juga,” katanya.
Katanya, BN tidak akan mampu memenangi Putrajaya jika hanya bersandarkan kekuatan Umno dan PAS melalui Piagam Muafakat Nasional.
Sebaliknya, kekuatan BN perlu disertai komponen bukan Islam termasuk parti Sabah dan Sarawak sekiranya mereka mahu merampas Putrajaya.
“Jangan ingat dengan penyatuan ummah ini semua boleh menang, jangan ingat PAS dan Umno bersama kita menang besar sebab nak menang Malaysia kena ada kawan dari Sabah dan Sarawak.
“Kita jangan syok sendiri. Kita jangan berlaga-laga,” katanya.
Tambahnya, dalam situasi semasa yang tidak memihak pentadbiran PH, akar umbi Umno dan BN seharusnya memainkan peranan meraih sokongan dan bukan bertelagah sesama sendiri.
“Orang sudah marah dengan PH tapi belum nak syok dengan kita. Kita pula jangan tunjuk perangai tak elok, kita kena tunjuk kita dah elok,
“Pada PRU14 kita kalah sebab masalah dalaman, jadi kita kena perbetulkan, muafakat punca selamat, sengketa punca celaka, jangan kita bersengketa,” katanya.
Untuk itu, Umno perlu menunjukkan keterbukaan kepada kumpulan bukan Islam walaupun parti itu membentuk Piagam Muafakat Nasional dengan PAS.
“Penyatuan ummah tidak relevan di Sabah dan Sarawak kerana ramai ahli kita di sana beragama Kristian.
“Jangan kita bertikam lidah, siapa dipilih parti itulah calon. Ini mesti percaya, kita percaya Qada dan Qadar, bagi Cina dan India itu karma.
“Keputusan yang kita buat adalah pada gambar yang lebih besar, jadi jangan bergaduh-gaduh,” kata Adun Rantau itu lagi di hadapan 200 orang dalam program sembang santai di Penerok.
PRK Parlimen Tanjung Piai dilangsungkan ekoran kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik akibat serangan jantung pada 21 September lalu.
PH meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini untuk mempertahankan kerusi itu.
Empat lagi calon yang bertanding termasuk Presiden Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz dan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Wendy Subramaniam.
Turut mencuba nasib adalah dua lagi calon bertanding atas tiket Bebas, iaitu Ang Chuan Lock, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, yang mewakili kumpulan pemandu teksi.
Hari pengundian untuk PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan pada 16 November depan. – 6 November, 2019.
Komen