LANGSUNG: E-mel dedah rancangan sembunyi kerugian 1MDB daripada Najib


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kembali memberi keterangan pada hari ke-32 perbicaraan melibatkan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2019.

SAKSI kesembilan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kembali memberi keterangan pada hari ke-32 perbicaraan melibatkan Najib Razak.

Ketua pasukan peguambela Muhammad Shafee Abdullah dijangka menyoal balas Shahrol hari ini berhubung perjanjian pinjaman RM2.5 bilion dengan AmBank pada 2010.

Semalam, Shahrol memberi keterangan yang pada pertengahan 2010, lembaga pengarah 1MDB meminta nasihat daripada Najib, yang ketika itu menjadi ketua lembaga penasihat, sama ada firma pelaburan negara itu harus terlibat dalam usaha sama lain dengan PetroSaudi International.

Shahrol berkata lembaga pengarah mahu pandangan Najib mengenai sama ada dana bernilai AS$1 bilion harus disuntik ke dalam syarikat usaha sama, yang akan membeli 4.23% saham dalam firma tenaga Perancis, GDF Suez.

Dalam perjanjian awal, AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd dan AS$700 juta kepada Good Star Ltd pada 30 September 2009, tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Penyiasat kemudian mendedahkan ia adalah syarikat palsu, dengan Good Star dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Lembaga pengarah kemudiannya menolak rancangan bagi menyuntik AS$500 juta terhadap perjanjian pembiayaan Murabaha dengan PSI, yang memberikan 1MDB pulangan sebanyak 8.25% setahun.

Shahrol juga mengesahkan pada Mei 2011, jumlah tambahan sebanyak AS$330 juta, yang sepatutnya menjadi bahagian kedua pelaburan bagi pembiayaan Murabaha, dialihkan kepada Good Star Ltd.

Saksi itu berkata hutang PSI kepada 1MDB adalah sekitar AS$2.2 bilion pada 2015, dan tidak pernah dilunaskan.

Bekas perdana menteri Najib, 66, sedang diadili berhubung empat tuduhan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan suapan bernilai RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama.

Pendakwa menuduh beliau bersekongkol dengan Low untuk menipu firma pelaburan negara.

Najib diwakili oleh sepasukan peguam. Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan yang diadili Hakim Collin Lawrence Sequerah.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

6.07pm: Sri Ram memaklumkan Hakim Sequerah untuk memulakan prosiding lewat sedikit kerana mempunyai pengurusan kes pada pagi. Beliau mencadangkan prosiding tamat pada 6.15 petang esok. 

Sequerah bersetuju dan perbicaraan ditangguhkan hingga esok.

6pm: Perbicaraan kembali bersambung.

Mereka kini menyemak prestasi Shahrol sebagai CEO pada mesyuarat lembaga pengarah pada 2011. Lembaga pengarah merumuskan beliau “megaji lebihi jangkaan”.

Beliau menerima kenaikan gaji daripada RM80,000 kepada RM90,000 pada 2011.

5.15pm: Shafee meminta Hakim Sequerah untuk menangguhkan perbicaraan hari ini tetapi hakim melarangnya, memberitahu untuk berehat sebentar serta menyambung sehingga pukul 6 petang.

“Akan ada kesesakan lalu lintas pada jam 6 petang, jadi mungkin kita harus terus melaluinya,” kata hakim.

Mahkamah berehat 10 minit.

4.15pm: Mahkamah berhenti rehat.

3.07pm: Shafee memberitahu hakim beliau akan bertanya satu soalan terakhir.

Shafee: Daripada e-mel itu, (adakah anda bersetuju bahawa) percakapan itu (cuba) menutupi (kerugian) dan memperdayakan perdana menteri (ketika itu)?

Shahrol: Daripada e-mel, nampaknya mereka cuba memperdayakan perdana menteri (ketika itu).

3.05pm: Shafee mencadangkan mereka sepatutnya memberitahu Najib usaha sama itu berjalan dengan baik, oleh itu, mereka boleh mendapatkan lebih banyak wang.

Shahrol berkata beliau tidak tahu.

Sequerah memberitahu Shafee saksi tidak mengetahui perkara itu.

Peguam meneruskan siasatannya, tetapi Shahrol berkata beliau tidak selesa membuat komen kerana tidak tahu mengenai perkara itu.

3.03pm: Shafee mencadangkan yang mereka menyalahgunakan AS$1 bilion daripada 1MDB dan menyimpan wang yang diperolehi. Shahrol berkata tidak tahu.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2019.

2.58pm: Shafee bertanya Shahrol mengenai kerugian AS$500 juta. Shahrol berkata tidak tahu mengenai jumlah yang dimaksudkan.

Saksi mengatakan beliau tidak selesa mengulas mengenai e-mel kerana beliau “tidak berada di situ” dan “tidak tahu” apa yang dibincangkan.

2.52pm: Mereka cuba menjelaskan kepada Najib mengenai usaha sama 1MDB-PSI, yang dalam keadaan goyang, dan Low serta rakannya berusaha mendapatkan AS$500 juta lagi daripada 1MDB, mahkamah diberitahu.

Di dalam e-mel, Obaid diarahkan memberitahu Najib yang mereka mempunyai prospek pelaburan yang baik, dan memerlukan wang segera.

Mereka juga mencadangkan kerugian tidak akan dibincangkan dengan perdana menteri ketika itu.

2.48pm: Shafee merujuk kepada e-mel antara Tarik Obaid dan Patrick Mahoney yang diterbitkan oleh The Edge.

Peguam mengatakan e-mel itu didedahkan oleh Xavier Andre Justo.

Mahoney menghantar e-mel pada 7 Ogos 2010, memberitahu Obaid mengenai pertemuan dengan Low dan kedua-duanya menyediakan senarai perkara untuk memberitahu Najib, mahkamah mendengar.

Ia diputuskan yang mereka akan menyembunyikan daripadanya hakikat bahawa 1MDB perlu menanggung kerugian AS$500 juta. Sebaliknya, mereka akan menarik perhatian Najib mengenai betapa pentingnya bagi pelaburan negara melabur segerasebanyak AS$500 juta dengan mereka.

2.36pm: Perbicaraan bersambung. Shahrol mengangkat sumpah.

12.39pm: Mahkamah berhenti rehat untuk makan tengahari.

12.03pm: Shafee menyemak aliran wang ke dalam PSI dengan menandakan dokumen.

Shahrol berkata beliau tidak tahu sama ada wang itu digunakan untuk membeli saham dalam GDF Suez.

11.43am: Mahkamah bersambung semula.

Shafee meneliti transaksi 82 million Swiss Francs yang dipindahkan daripada akaun Tarak Obaid kepada Good Star Limited.

10.53am: Timbalan presiden MIC M Saravanan berada di galeri awam. Mahkamah berehat sebentar. Najib dan Saravanan ke kafeteria.

10.48am: Shahrol berkata hingga hari ini, beliau tidak tahu bagaimana AS$300 juta digunakan daripada usaha sama 1MDB-PSI.

9.55am: Shafee memberitahu Sequerah pada Khamis depan, beliau dan Sri Ram mempunyai urusan di mahkamah lain. Shafee bertanya sama ada mereka boleh mula lewat pada Khamis depan. Hakim membenarkannya tetapi memberitahu peguam yang mereka mungkin perlu melanjutkan tempoh perbicaraan hingga jam 6 petang pada minggu depan.

Shafee memulakan soal balasnya.

9.52am: Perbicaraan bermula. – 6 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen