Trump batalkan kerahsiaan fail pembunuhan Kennedy


PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump akan menarik sekatan ke atas fail rahsia tentang pembunuhan John F Kennedy pada 1963 dan membenarkan semua kandungan fail itu didedahkan kepada umum buat pertama kali.

Pembunuhan yang berlaku pada 22 November 1963 itu- salah satu peristiwa penting sejarah AS moden- sudah menimbulkan banyak teori yang mencabar versi kenyataan rasmi yang Kennedy dibunuh oleh hanya seorang penembak, Lee Harvey Oswald.

Jadi kelulusan mendedahkan dokumen rahsia berkaitan kes itu sangat ditunggu-tunggu oleh ahli sejarah dan pereka konspirasi teori.

Pengumuman Trump itu berlaku susulan laporan yang mengatakan bukan semua fail akan didedahkan kepada umum, dan fail sulit berkaitan maklumat perisikan mungkin masih dikenakan sekatan rahsia.

Tetapi Trump nampaknya memutuskan sebaliknya.

“Tertakluk kepada maklumat lanjut, saya akan membenarkan, selaku presiden, fail sulit dan rahsia JFK dibuka,” katanya menerusi Twitter.

Fail itu dijangka dibuka sepenuhnya pada Khamis, hampir 54 tahun selepas pembunuhan Kennedy di Dallas- kecuali presiden AS memutuskan sebaliknya.

Jutaan fail rahsia didedahkan di bawah undang-undang yang diluluskan pada 1992 selepas tuntutan rakyat yang mendesak pendedahan terbuka susulan terbitnya filem Oliver Stone mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan itu.

Tetapi undang-undang itu meletakkan sekatan 25 tahun ke atas sebilangan kecil fail yang akan tamat pada 26 Oktober ini.

Ada laporan menyebut jumlah fail yang masih dirahsiakan berjumlah 3,100 fail dan ada juga mengatakan ribuan lagi fail yang sudah didedahkan tetapi dipadam kandungannya akan didedahkan tanpa padaman lagi. – AFP, 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen