Inisatif PPP untuk perangi jenayah kewangan, kata PM


Kalidevi Mogan Kumarappa Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri hari ini melancarkan inisiatif Kerjasama Awam-Swasta (PPP) iaitu kerjasama dan usaha antara BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, agensi penguatkuasa undang-undang dan institusi kewangan bagi memerangi jenayah kewangan secara lebih berkesan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2019.

INISIATIF Kerjasama Awam-Swasta (PPP) yang dilancarkan hari ini perlu diperkukuhkan lagi dalam usaha memerangi rasuah dan jenayah kewangan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata kerangka inisiatif itu perlu ditambah baik dari semasa ke semasa, selain dilaksanakan secara menyeluruh.

Oleh itu, kerajaan melihat usaha membina keyakinan dan ketelusan menerusi penganjuran dialog terbuka serta kerjasama dalam kalangan pihak berkaitan wajar terus diperkasa, kata Dr Mahathir.

“Usaha lain harus terarah kepada memacu pembaharuan dan memperkukuhkan institusi, dasar dan kerangka perundangan di negara ini.

“Ini akhirnya berupaya menjadi pemangkin supaya Malaysia dapat memainkan peranan untuk membanteras jenayah kewangan dan pendanaan keganasan pada skala global.

“Kita harus kekal fokus dan berpegang pada tekad untuk menjayakan agenda ini supaya boleh berdiri megah sebagai negara bermaruah,” katanya pada ucaptama perasmian Persidangan Jenayah Kewangan dan Pendanaan Keganasan, hari ini.

Hadir sama ialah Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya dan Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.

PPP akan berfungsi sebagai platform kerjasama antara BNM, Suruhanjaya Sekuriti, agensi penguatkuasa undang-undang dan institusi kewangan bagi memerangi jenayah kewangan dengan lebih berkesan.

Katanya, pendekatan itu berupaya dilaksana menerusi perkongsian maklumat risikan secara strategik, berkesan dan tepat pada masanya dalam kalangan institusi kewangan.

Dr Mahathir berkata, agensi penguatkuasa undang-undang dan institusi kewangan akan terus mematuhi kerangka perlindungan data yang diperuntukkan di negara ini.

“Usaha bersepadu untuk menangani jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan amat dihargai, namun isu kepincangan sering terarah kepada kelemahan tadbir urus serta aspek integriti kerajaan.

“Ini kerana penjenayah kekal lolos untuk mendalangi pelbagai kegiatan walaupun kerajaan merangka rangkaian perundangan ketat dan bersifat menyeluruh.

“Oleh itu, kita harus tangani isu ini menerusi pendekatan yang lebih inovatif,” katanya.

Menurut beliau, jenayah rasuah kini semakin sebati dalam hidup masyarakat, di mana rasuah diangkat sebagai ‘raja baharu’

“Daripada tindakan dilabel sebagai jijik, rasuah diterima secara meluas dan sesiapa yang tidak mengambilnya akan dianggap bodoh,” kata Dr Mahathir. – 5 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen