SARAWAK akan mengenakan faedah atas kelewatan Petronas membayar cukai jualan produk petroleum sebanyak 5%, kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
“Lagi lama mereka tangguh, lebih banyak yang mereka perlu bayar,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Hasidah juga berkata kerajaan negeri boleh memfailkan saman terhadap Petronas untuk menuntut bayaran cukai tersebut sekiranya syarikat petroleum negara itu gagal membayar secepat mungkin.
Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg ketika perbahasan penggulungan belanjawan negeri semalam.
Abang Johari berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk mengheret Petronas ke mahkamah jika masih enggan membayar cukai jualan minyak dan gas yang digali di negeri itu.
Abang Johari juga semalam berkata Sarawak telah mengeluarkan ‘Notis Taksiran’ kepada Petronas untuk membuat bayaran.
“Kami bertegas dan akan mengambil tindakan segera, sebelum akhir bulan ini,” kata Hasidah pada sidang media, hari ini. – 5 November, 2019.
Komen