TIADA lagi individu yang mengepalai Daesh di Malaysia sejak kematian beberapa pemimpin kumpulan militan itu di Syria pada 2017, menurut Cawangan Khas Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8), Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan perkara itu dalam satu sidang media hari ini.
“Setakat ini tidak ada dalam Malaysia. Malah mereka juga tidak mendapat arahan dari Syria. Mereka ini hanya kumpul duit sendiri dan ia tiada kaitan dengan apa yang berlaku di Syria,” katanya.
Malah Daesh juga di Malaysia juga tidak berstruktur seperti satu lagi kumpulan militan, Jemaah Islamiah (JI), kata Ayob.
“Mereka tiada ketua sejak 2017 dan tidak berstruktur seperti JI,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Jenayah Kewangan dan Pendanaan Keganasan hari ini.
Ketua Militan Malaysia berpangkalan di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi adalah antara pemimpin Daesh yang terbunuh dalam serangan di Raqqa, Syria, pada 2017.
Anak muda kelahiran Alor Gajah, Melaka itu dilaporkan menjadi ketua anggota militan Daesh cawangan Malaysia di Syria selepas kematian pemimpinnya Mohd Lotfi Ariffin dan pemimpin lain.
Mengulas lanjut, Ayob berkata pasukan polis berjaya mematahkan 25 rancangan serangan pengganas di negara ini sejak 2013.
“14 serangan itu berada di fasa satu iaitu masih di peringkat perbincangan manakala 11 lagi di fasa kedua iaitu sudah dapatkan bahan letupan dan senjata.
“Cuma satu saja yang berjaya iaitu di Movida Club pada tahun 2016,” katanya.
Serangan ke atas kelab malam di Petaling Jaya itu menyebabkan lapan orang cedera. – 5 November, 2019.
Komen