JUMLAH kematian dalam serangan ke atas sebuah masjid Syiah di Kabul meningkat 56 orang, kata pegawai ketika ibu kota Afghanistan itu bergelut dengan keganasan terbaru itu.
“Jumlah kematian dalam serangan semalam di Masjid Imam Zaman meningkat kepada 56 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, 55 lagi cedera,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri kepada AFP.
Sebelum ini angka rasmi dikeluarkan adalah 39 terbunuh dan 45 lagi cedera. IS mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.
Seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya ketika orang ramai sesak berhimpun untuk solat Jumaat di masjid yang terletak di kawasan kejiranan majoriti Syiah itu.
Ia adalah salah satu daripada dua serangan maut menyasarkan masjid pada Jumaat, minggu paling berdarah di negara itu.
Serangan kedua berlaku di kawasan luar bandar dan miskin di Ghor apabila seorang lagi penyerang bunuh diri meletupan dirinya membunuh 20 orang dan mencederakan 10 yang lain.
Rakyat menyuarakan kemarahan kerana kerajaan gagal melindungi rakyatnya di ibu kota Afghanistan itu, jumlah kematian kerana serangan merangkumi 20% daripada jumlah kematian keseluruhan rakyat negara itu pada separuh pertama tahun ini. – AFP, 21 Oktober, 2017.
Komen