Polis pantau kumpulan tolak demokrasi berpelembagaan


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kumpulan menolak demokrasi berpelembagaan banyak menyebar ideologi menerusi sosial media, usrah dan perhimpunan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2019.

POLIS sedang memantau beberapa kumpulan di negara ini yang dikenal pasti menolak sistem demokrasi berperlembagaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka banyak menyebar ideologi menerusi sosial media, usrah dan perhimpunan.

“Kumpulan ini berada dalam garisan keselamatan yang nipis. Kita sekadar boleh memantau ideologi (keganasaan). Buat masa ini, mereka mempromosi negara Islam yang menolak demokrasi dan tidak melibatkan aksi keganasan.

“Ada beberapa yang kita pantau dan kita kenal pasti terdapat juga kumpulan yang berselindung di sebalik tabligh sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Jenayah Kewangan dan Pendanaan Keganasan, hari ini.

Menjelas lanjut, Ayob berkata antara kumpulan terbabit ialah kumpulan Hizbut Tahrir Malaysia yang sebelum ini dikesan menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi, bantahan, diskusi umum, seminar dan pengedaran risalah.

Menurut Ayub, kumpulan berkenaan sudah diharamkan Selangor mengikut Jabatan Agama Islam.

“Sebagai contoh, Hizbut Tahrir. Fahaman mereka adalah bertentangan dengan demokrasi. Apa yang dimaksudkan dengan itu? Ia bermakna mereka percaya kepada sesuatu yang ekstrem.

“Jadi kita perlu sentiasa memantau jika mereka mengakibatkan risiko kepada keselamatan negara,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dalam kes terpencil, ada beberapa individu daripada kumpulan berisiko tinggi ini yang menyokong kumpulan militan.

“Bagaimanapun, jumlahnya adalah kecil dan tidak perlu dibimbangkan,” katanya. – 5 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen