Ketatkan pemberian visa kepada rakyat negara bergolak, kata Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa Ragananthini Vethasalam

Malaysia dilabel sebagai pusat transit pengganas bukannya perkara baharu, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2019.

MALAYSIA perlu memperketatkan pemberian visa kepada rakyat dari negara bergolak bagi mengelak kemasukan pengganas, tegas Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata label ke atas negara ini sebagai pusat transit pengganas bukannya perkara baharu.

Namun, katanya, polis sentiasa memantau dan mengambil tindakan ke atas kehadiran pengganas asing yang menjadikan negara ini sebagai pusat transit.

“Ada banyak rakyat negara lain yang tidak memerlukan visa untuk ke Malaysia dan disebabkan itu, negara ini menjadi pilihan mereka.

“Bagaimanapun, sejak 2013 kita sudah menahan 38 pengganas asing dalam transit di mana ada yang sudah dituduh dan ada diusir balik negara asal,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Jenayah Kewangan dan Pendanaan Keganasan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya cara untuk mengubah persepsi negara luar mengenai Malaysia yang menjadi pusat transit pengganas asing.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, meskipun wujud kelonggaran dalam polisi itu, pihaknya sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk menangani unsur keganasan.

“Siapa saja yang masuk tidak kira dari Arab, Mesir, kita tahan jika bertentangan dengan undang-undang keganasan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ayub berkata tindakan pencegahan penting untuk mengelak insiden serangan seperti di Christchurch, New Zealand berlaku di negara ini.

Christchurch katanya, adalah contoh terbaik di mana rakyat asing masuk ke negara itu dan kemudian melakukan serangan. – 5 November, 2019.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen