Lembaga pengarah 1MDB minta nasihat Najib bagi usahasama kedua


Bede Hong Timothy Achariam

Lembaga pengarah 1MDB meminta nasihat Najib Razak selaku pengerusi lembaga penasihat mengenai sama ada perlu menjalinkan satu lagi usahasama dengan PetroSaudi International, kata saksi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 November, 2019.

LEMBAGA pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) meminta nasihat Najib Razak selaku pengerusi lembaga penasihat mengenai sama ada perlu menjalinkan satu lagi usahasama dengan PetroSaudi International (PSI), kata saksi.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata lembaga pengarah mahu Najib beri pandangan sama ada dana sebanyak AS$1 bilion perlu dilabur ke dalam sebuah syarikat usahasama yang akan membeli 4.23% saham syarikat tenaga Perancis, GDF Suez.

Shahrol memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, perkara itu dinyatakan oleh pengerusi lembaga pengarah 1MDB Lodin Wok Kamaruddin dalam mesyuarat pada 5 Julai 2010.

Syarikat usahasama tersebut, 1MDB-PetroSaudi International Ltd, ketika itu 100% dimiliki PSI, kata saksi itu.

Shahrol berkata Lodin memaklumkan lembaga pengarah bahawa pembelian saham GDF Suez tidak akan memberi pulangan dengan cepat kerana saham dipegang oleh PSI.

“Lembaga pengarah ketika itu hanya mahu dengar dari Datuk Seri Najib sama ada kami perlu dapatkan projek ini. Lembaga memutuskan untuk meminta nasihat Datuk Seri Najib,” kata Shahrol ketika disoal balas oleh peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah, hari ini.

Shafee mencadangkan bahawa mengikut undang-undang, Najib tidak boleh memberi nasihat kerana penasihat lembaga pengarah hanya dibenarkan berbuat demikian jika mesyuarat dihadiri sekurang-kurangnya empat ahli.

“Kamu tidak nasihatkan lembaga bahawa pengerusi lembaga penasihat bukan satu entiti?” soal Shafee.

Shahrol mengaku beliau tidak menasihatkan lembaga pengarah ketika itu. – 5 November, 2019.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen