SPRM belum siasat dakwaan rasuah libatkan Jakim


Kalidevi Mogan Kumarappa Ragananthini Vethasalam

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata isu rasuah melibatkan pegawai Jakim sudah dirujuk kepadanya namun siasatan belum dimulakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 November, 2019.

AGENSI antirasuah sudah dimaklumkan mengenai dakwaan rasuah melibatkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan pensijilan halal di Malaysia, kata Latheefa Koya.

Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, isu berkenaan sudah dirujuk kepadanya namun siasatan belum dimulakan oleh agensi itu.

“Biar saya melihat perkara itu. Saya sudah dirujuk berhubung isu berkenaan. Sebaik kita memulakan siasatan dan menemui apa-apa petunjuk, saya akan maklumkan kemudian,” katanya.

Dakwaan itu dibangkitkan pada bulan lalu oleh portal The Asia Sentinel yang mendakwa pegawai Jakim berkaitan pensijilan halal terbabit dengan rasuah.

Laporan itu mendakwa pegawai Jakim meminta bayaran sebanyak RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging halal di Kuala Lumpur.

Ia menyebut kes seorang penjual daging dari Lubnan yang didakwa membatalkan hasrat melabur di Malaysia selepas pegawai Jakim meminta RM50,000 sebagai pembayaran pendaftaran.

Dakwaan itu dinafikan Ketua Pengarah Jakim, Mohamad Nordin yang menjelaskan jabatan itu mengamal kawalan dan sistem integriti tinggi dan telus untuk mengelak amalan rasuah.

Latheefa bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Jenayah Kewangan dan Pendanaan Keganasan di Kuala Lumpur. – 5 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen