Tempoh lanjutan untuk kaji pelaksanaan RTS, kata menteri


Diyana Ibrahim

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata lanjutan enam bulan untuk menandatangani perjanjian RTS bagi mengkaji cara pelaksanaannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2019.

LANJUTAN tempoh enam bulan untuk menandatangani perjanjian Sistem Transit Rapid (RTS) adalah bagi mengkaji cara pelaksanaannya, kata Anthony Loke.

Menteri pengangkutan itu berkata, ia bukan untuk meneliti sama ada akan dilaksanakan atau tidak.

Jelasnya, kerajaan memerlukan masa untuk mengkaji tiga perjanjian bagi projek menghubungkan Bukit Chagar, Johor ke Woodlands, Singapura itu.

“Betul kita ada permintaan lanjutan enam bulan sebelum kita dapat menandatangani semua perjanjian kerana kerajaan putuskan untuk meneruskan RTS dengan pindaan pada perjanjian yang perlu kita tandatangani.

“Tempoh enam bulan itu bukan penggantungan untuk meneliti semula (sama ada laksana atau tidak) projek RTS, tapi untuk mengkaji bagaimana pelaksanaannya,” katanya.

Perjanjian tersebut juga akan tetap dimuktamadkan sebelum 30 April, katanya lagi dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang mendakwa kerajaan masih belum ada keputusan berhubung projek RM4 bilion itu selepas memohon tempoh lanjutan selama enam bulan.

Malaysia memohon tempoh lanjutan untuk kali ketiga, selepas lanjutan enam bulan berakhir pada 30 September lepas.

Tiga perjanjian yang akan dikaji kerajaan semula melibatkan Perjanjian Dua Hala yang baharu, Perjanjian Usaha Sama dan Perjanjian Konsesi, membabitkan persetujuan Malaysia dan Singapura. – 5 November, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen