Farid rintis kemenangan Pakatan di Tanjung Piai


Mohd Farhan Darwis

Penyokong PH berkumpul memberi sokongan kepada calon PRK Tanjung Piai dari Bersatu pada hari penamaan calon. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2019.

SIKAP lemah lembut, mudah didampingi dan mesra rakyat menjadikan kehilangan allahyarham Dr Md Farid Md Rafik dirindukan kalangan nelayan pesisir pantai di sekitar Kukup.

Penduduk Kampung Melayu Kukup ini juga masih mengenang pengalaman berhimpun dan berarak dengan penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai itu sewaktu kempen PRU14.

Salah seorang penduduk yang mahu dikenali dengan nama Helme berkata, pada waktu itu PH sukar menembusi kawasan tersebut yang majoritinya penyokong BN.

Katanya, kumpulan kira-kira 50 orang itu berarak dari Pekan Kukup ke stesen bas dengan melaung slogan “hapus GST” sambil memakai topeng dengan gambar wajah Dr Mahathir Mohamad.

“Kami sengaja buat kecoh supaya orang sedar PH ada penyokong di kawasan ini, dulu orang (politik) tak pandang pun Kukup.

“Selepas itu barulah pemimpin PH datang dan berani masuk ke kampung kami,” kata Helme, ketika ditemui The Malaysian Insight di rumahnya.

Gelombang penolakan rakyat terhadap BN itu berhasil apabila Farid, yang juga timbalan ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai memenangi kerusi itu dalam PRU14.

Anak kelahiran Serkat itu berjaya menundukkan bekas wakil rakyat kawasan itu Wee Jeck Seng, 55, yang mewakili kawasan itu selama dua penggal, dengan majoriti lebih 500 undi.

Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia pada usia 42 tahun pada 21 September lalu akibat serangan jantung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2019.

Selepas dilantik menyertai Kabinet Dr Mahathir sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Farid bagaimanapun tidak sombong dengan warga Kukup.

“Apabila berjumpa kami beliau tidak pernah ada protokol, dah macam keluarga bila kami bersembang,” kata Helme yang bangga kerana bersahabat dengan seorang timbalan menteri.

Farid bagaimanapun tidak dapat berkhidmat lama di Tanjung Piai kerana meninggal dunia pada usia 42 tahun pada 21 September lalu akibat serangan jantung.

Namun begitu, kerajaan akan tetap meneruskan 17 projek pembangunan bagi pengundi Tanjung Piai dianggarkan bernilai RM14.75 juta yang diumumkan allahyarham.

Ia termasuk tiga jeti nelayan masing-masing di Jeram Batu, Sungai Boh, dan Pengkalan Parit Penghulu, yang bernilai RM1 juta setiap satu.

Selain itu, RM200,000 diperuntukkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) untuk kerja naik taraf Jeti Nelayan di Kampung Melayu, Kukup.

Kesemua projek terbabit diumumkan sudah diluluskan menjelang PRK Parlimen Tanjung Piai yang bakal berlangsung 16 November depan.

Projek pembangunan di tiga jeti nelayan di Jeram Batu, Sungai Boh, dan Pengkalan Parit Penghulu, yang bernilai RM1 juta setiap satu akan diteruskan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 November, 2019.

Seorang nelayan, Abdul Latif Johari berkata beliau bersyukur kerana jeti berkenaan dibaik pulih memandangkan keadaannya yang uzur dan berbahaya kepada nelayan.

“Saya rasa gembira bila jeti nelayan ini dibaik pulih, kayu-kayu yang digunakan sebagai lantai pun dah reput digantikan.

“Bila kita naik taraf kita boleh beri jaminan jeti ini mampu bertahan sekurang-kurangnya 10 tahun,” kata Latif, 58, yang bekerja sebagai nelayan pesisir pantai di sekitar Kukup.

Selain digunakan sebagai jeti nelayan, jeti itu turut berfungsi sebagai lokasi tumpuan pemancing yang dikenakan bayaran RM2 setiap orang.

“(Persatuan kenakan) kadar caj yang murah supaya kita boleh gunakan wang itu untuk menyelenggarakan jeti,” katanya yang memiliki dua bot di jeti itu.

Jeti berkenaan memberi manfaat kepada lebih 40 nelayan yang tinggal di sekitar kawasan itu, kata Ketua Nelayan Jeti Kampung Melayu Hasbullah Malek.

Beliau gembira kerana permohonan untuk membaik pulih jeti tersebut diluluskan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

“Bila luluskan, nelayan dapatlah ke laut dengan keadaan yang lebih selamat lepas ini,” kata Hasbullah, 53.

Proses baik pulih jeti itu sedang giat dilaksanakan sewaktu kempen PRK Parlimen Tanjung Piai bermula pada Sabtu, lalu.

Kali ini, PH meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini, 66, dalam pertandingan enam penjuru untuk mengekalkan kerusi itu.

Turut mencuba nasib ialah Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Badrulhisham Abdul Aziz, 56, dan Wendy Subramaniam, 38, yang mewakili Gerakan.

Dua calon Bebas turut bertanding – pengasas pusat tuisyen Ang Chuan Lock, 39, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, 43, yang mewakili kumpulan pemandu teksi. – 6 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen