3 maut dalam 2 kemalangan di Pulau Pinang 


DUA rakan maut selepas kereta dinaiki mereka di percayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori treler dalam kemalangan di Jalan Kulim, Machang Bubok di Bukit Mertajam hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata Ho Seng Yew, 29, yang memandu kereta itu dan rakannya Cheong Sik Liang,20, maut di tempat kejadian selepas tersepit dan mengalami kecederaan parah dalam kemalangan kira-kira pukul 1 tengah hari.

“Kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dua lelaki itu datang dari arah Kulim menghala ke Bukit Mertajam telah masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan lori treler yang datang dari arah Bukit Mertajam. Pemandu lori berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Mizan, 39, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori ais dari arah belakang di Jalan Paya Keladi, Kepala Batas hari ini.

“Dalam kemalangan pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa memberi isyarat untuk membelok masuk ke persimpangan Taman Bertam Perdana dan dalam  masa sama sebuah kereta yang berada di belakang motosikal lelaki itu turut mahu masuk ke simpang berkenaan sebelum lori ais merempuh belakang kedua-dua buah kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya akibat rempuhan itu menyebabkan belakang kereta remuk teruk manakala penunggang motosikal terpelanting beberapa meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. – Bernama, 4 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen