14 suspek dipercayai terlibat sindiket Along ditahan 


POLIS Diraja Malaysia Pahang menumpaskan dua sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau Along dengan penahanan 14 suspek termasuk dua wanita yang disyaki aktif menjalankan kegiatan itu sejak tahun 2016.

Timbalan Ketua Polis Pahang Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek berusia dalam lingkungan 18 hingga 42 tahun berasal dari Pahang, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kedah ditahan menerusi Op Vulture yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada Rabu lepas.

Katanya, mereka ditahan di beberapa premis kediaman sekitar Mentakab di Temerloh dan Kuantan, dipercayai dijadikan lokasi operasi sindiket yang mengiklankan ‘perkhidmatan’ mereka menerusi laman sosial Facebook dan WhatsApp, risalah iklan dan kad perniagaan.

“Sindiket itu dipercayai menyasarkan golongan peniaga dan kakitangan kerajaan sebagai mangsa dikenakan kadar faedah bayaran balik sehingga 18 peratus bagi setiap pinjaman.

Pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk 50 ikatan dokumen pinjaman dan 28 buah buku nota maklumat peminjam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan, hari ini.

Mohd Yusri berkata polis turut merampas 24 kad Mesin Teler Automatik (ATM), 17 fail bayaran balik, 31 telefon bimbit pelbagai jenis wang tunai RM783 dan lapan kereta pelbagai jenis seperti jenama termasuk Toyota Vios, Camry dan Corolla Altis.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah melebihi RM1.015 juta, katanya.

Mohd Yusri berkata suspek kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama, 4 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen