Hakim kes 1MDB tegur Najib ke Tanjung Piai walaupun MC


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak melihat telefon bimbitnya ketika prosiding mahkamah berehat sebentar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 November, 2019.

HAKIM Collin Lawrence Sequerah yang mengendalikan perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memberi amaran kepada Najib Razak susulan bekas perdana menteri itu ke Tanjung Piai, Johor selepas mengambil cuti sakit untuk tidak menghadiri perbicaraan pada Khamis.

“Mahkamah tidak akan tolak ansur dengan sebarang cubaan mengelirukannya,” kata Sequerah.

“Biar saya katakan tanpa syarat tertentu, jika ada keperluan berbangkit mahkamah tidak akan teragak-agak menghukum tertuduh kerana menghina mahkamah.

“Tetapi selepas mendengar kedua-dua pihak, mahkamah tidak nampak keperluan mengenakan sekatan itu,” kata hakim selepas mendengar hujahan peguam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya kanan Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah beliau diarahkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk melarang Najib ke Johor pada malam Khamis.

“Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku,” kata Sri Ram.

“Dalam beberapa keadaan sebelum ini tertuduh mendapatkan MC dan menghadiri mesyuarat Umno dan PAS di PWTC. Ada aduan awam atas apa yang berlaku dan pihak pendakwa menerima banyak aduan, malah ada laporan polis dibuat. Saya fikir tertuduh menggunakan MC sebagai alasan untuk mendapatkan penangguhan.”

Sri Ram kemudian menyifatkan penyakit Najib pulih sebagai “ajaib” dan berkata pihak pendakwa raya memohon mengenakan sekatan terhadap Najib dengan menyekat pergerakannya dalam Kuala Lumpur saja dan melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap Sabtu.

Ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah membalas dengan berkata Thomas gagal melakukan penyelidikan, berkata Najib menghadiri lebih 100 hari perbicaraan dan hanya MC tiga hari.

Peguam itu berhujah ahli politik terkemuka lain melakukan hampir 69 kali penangguhan atas pelbagai sebab.

Shafee turut mengkritik individu yang membuat laporan polis terhadap Najib; “Dia sudah tentu bersembunyi di belakang individu lain.”

Najib, 66, dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah sama.

Najib berada di Tanjung Piai pada malam hari pencalonan bagi PRK kerusi Parlimen itu di mana hari mengundi ditetapkan pada 16 November. – 4 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen