PAKATAN Harapan yakin dapat memenuhi janjinya membentuk sejuta pekerjaan, kata M Kulasegaran.
“Buat masa sekarang ada 640,000 kerja kosong dan ia bukan hanya pekerjaan 3D (bahaya, kotor dan sukar).
“Ada 21,000 kekosongan untuk profesional dan 22,000 kerja untuk juruteknik,” kata menteri sumber manusia itu di Dewan Rakyat pagi ini.
Katanya, terdapat 250,000 kekosongan dan sektor tenaga hijau yang mana 150,000 sudah diisi.
“Masalah kita sekarang adalah ada kekosongan tetapi tiada siapa yang mahukan kerja itu,” katanya yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat.
Kulasegaran menjawab soalan tambahan Ismail Sabri (Bera-BN) sama ada PH boleh memenuhi janji pilihan raya untuk membentuk sejuta pekerjaan.
Sementara itu, terdapat peningkatan kecil pemecatan dan pembuangan kerja dilaporkan pada 2018 dan 2019.
Pada 2018, sebanyak 23,168 orang diberhentikan kerja di sektor swasta termasuklah 5,932 pembuangan kerja (25.6%).
“Sehingga September 2019, terdapat 24,600 pemecatan termasuklah 2,975 yang dibuang melalui Skim Pemisahan Sukarela (VSS).
“Menurut statistik diperolehi daripada portal pekerjaan kerajaan, JobsMalaysia, (Ogos 2019) terdapat 50,326 kekosongan untuk graduan dan 642,979 untuk bukan graduan,” katanya lagi. – 4 November, 2019.
Komen