KEJAYAAN MCA di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai adalah pemula penting dalam usaha Barisan Nasional menang Pilihan Raya Umum ke-15, kata Khaled Nordin.
Naib presiden Umno itu berkata kejayaan MCA akan membuka jalan kepada rakan BN lain seperti Umno dan sekutunya PAS mendapat sokongan bukan Islam untuk kembali menakluk Putrajaya.
Umno dan PAS membentuk kerjasama politik rasmi dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional bagi mengalahkan Pakatan Harapan pada PRU15.
Bagi menyakinkan pengundi bukan Islam yang gabungan itu tidak bersikap perkauman seperti didakwa pengkritik, Umno merasakan tindakan meletakkan calon MCA adalah bijak, kata Khaled pada ceramah di Pekan Nenas, malam tadi.
“Kita memilih calon MCA kerana kita lihat ke depan bukan hanya lihat kepada PRK tetapi PRU15.
“Di masa akan datang MCA memerlukan undi Umno dan orang Umno perlukan MCA. (BN) perlukan sokongan semua,” kata bekas menteri besar Johor itu.
Kenyataan Khaled dikeluarkan selepas wujud desakan akar umbi Umno yang mahukan calon PRK Tanjung Piai datang daripada parti itu kerana ia kawasan majoriti pengundi Melayu, 57% daripada 52,986 orang pemilih.
Umno bahagian itu berhujah yang calon sekarang daripada MCA, Wee Jeck Seng sudah dikalahkan pada PRU14 lalu.
Wee adalah penyandang dua penggal kerusi itu sebelum ditewaskan Md Farid Md Rafiq (PH-Bersatu) dengan marjin undi hanya 524.
Md Farid meninggal dunia pada 21 September lalu, menyebabkan PRK akan dijalankan pada 16 November ini.
Wee akan menentang lima calon lain termasuklah calon PH, Karmaine Sardini.
“Umno dah menang tiga kali (PRK), jadi ini giliran MCA untuk buktikan mereka dapat sokongan untuk jayakan (Piagam) Muafakat Nasional,” katanya merujuk kepada PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.
“Kita mahu tengok sokongan yang kita boleh dapat melalui muafakat nasional yang akan dipimpin oleh Umno dan PAS.”
Umno dan PAS juga, tambahnya, perlu bekerja keras bagi membuktikan mereka masih mendapat sokongan majoriti Melayu di Tanjung Piai.
“Kita mesti buktikan kita adalah jurucakap orang Melayu dan bukan parti lain,” katanya.
Walaupun Khaled tidak menyatakan nama parti, beliau dipercayai merujuk kepada Bersatu- parti komponen PH- yang mahu menggantikan Umno sebagai parti orang Melayu. – 4 November, 2019.
Komen