Usaha penempatan semula etnik Rohingya  di pulau terpencil masih kabur


Hampir sejuta pelarian Rohingya kini berlindung di kem pelarian di Bangladesh akibat penindasan tentera Myanmar di Rakhine dengan alasan mahu mengusir pengganas. – Gambar EPA, 3 November, 2019.

PELAN memindahkan ribuan pelarian Rohingya di Bangladesh ke sebuah pulau terpencil masih belum pasti selepas pihak berkuasa negara itu gagal meraih sokongan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dhaka mahu memulakan pelan itu pada bulan ini dengan memindahkan 100,000 pelarian Rohingya ke pulau Bhashan Char ekoran pertambahan jumlah khemah di kem pelarian di tenggara negara itu.

Bangladesh berkata ribuan keluarga Rohingya secara sukarela mahu berpindah dengan 3,500 daripadanya dijadualkan berpindah ke pulau itu antara pertengahan November hingga Februari semasa keadaan laut tenang.

Namun pelan itu masih diragui kerana PBB tidak menyokong usaha itu setakat ini, kata Menteri Bantuan dan Pengurusan Bencana Bangladesh Enamur Rahman.

“Usaha ini masih belum pasti,” katanya sambil menambah tempoh perjalanan ke pulau itu mengambil masa tiga jam menggunakan bot.

“Mereka (agensi PBB) masih belum bersetuju dengan pelan penempatan semula.”

Agensi PBB yang berkaitan memberitahunya bahawa pulau itu amat terpencil dan mudah dilanda banjir.

Katanya, agensi tersebut menetapkan syarat yang perlu dipenuhi termasuk pulau yang dipilih perlu terletak antara laluan kapal di Teluk Bengal dan tanah besar.

Dhaka dijadualkan mengadakan satu lagi rundingan dengan agensi berkaitan pada Rabu ini.

Hampir sejuta pelarian Rohingya kini berlindung di kem pelarian di Bangladesh akibat penindasan tentera Myanmar di Rakhine dengan alasan mahu mengusir pengganas. – AFP,  3 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen