PEMERGIAN Dr Md Farid Md Rafik yang meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 21 September 2019 mencetuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang kini berlangsung di Johor.
Buat masa ini tidak dinafikan bahawa PH(PH) sedang mengalami krisis yang perlu ditangani, dan tidak ada jaminan kita akan menang mudah di PRK Parlimen Tanjung Piai.
Sebenarnya ada kaitan langsung antara pertarungan di Tanjung Piai dan keadaan politik kebangsaan hari ini.
PH perlu menyakinkan rakyat di seluruh negara bahawa gabungan politik kita adalah satu bentuk kerjasama yang akan menyumbang kepada kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran negara tercinta kita.
PH mesti menyakinkan pengundi dan penyokong bahawa hanya jalan tengah dalam politik yang akan menjamin masa depan negara, dan hanya PH yang dapat berada di jalan tengah.
Gabungan pembangkang yang rapuh, iaitu PAS, Umno, MCA dan MIC, tidak berada di landasan sederhana. Mereka memilih laluan ekstrem untuk meraih sokongan masing-masing tetapi cara mereka bakal menghancurkan masa depan negara.
Parti-parti lain seperti Gerakan pula cuba bangkit semula setelah ditolak oleh rakyat dalam PRU yang lalu manakala Berjasa hanya membenarkan diri dipergunakan oleh anasir-anasir ekstrem.
Kita perlu ingat bahawa PH tidak mungkin membentuk kerajaan tanpa kerjasama Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu. Malah tanpa korupsi Najib Razak, mustahil rakyat menolak BN untuk memilih PH.
Tanpa gabungan politik jalan tengah PH, Najib akan kekal di tampuk kuasa, dan rasuah serta kleptokrasi akan terus berleluasa tanpa batasan.
Namun hari ini, hanya 18 bulan sahaja selepas mendapat mandat, PH menjadi sasaran maki-hamun pelbagai pihak. Sudah tentu keadaan ini diambil kesempatan oleh pembangkang untuk memarakkan politik perkauman mereka.
Melawan persepsi
Saya merasa empati dengan akar umbi kita yang dimaki dan diserang oleh pihak lawan. Malah rakan-rakan mereka juga marah selepas PRU14, semata-mata persepsi bahawa prestasi PH mengecewakan.
Situasi kini serupa dengan 2016 apabila ramai antara kita merasa tidak ada harapan lagi selepas perpecahan Pakatan Rakyat. Ahli-ahli kita juga dimaki oleh orang ramai. Walau bagaimanapun, saya memohon agar saudara dan saudari sabar dan mempunyai keyakinan terhadap pimpinan parti yang tetap berusaha untuk berjuang atas prinsip-prinsip parti.
Benarkah kita gagal? Atau kita sendiri hilang keyakinan kerana diserang dengan pelbagai fitnah pembangkang?
Saya tidak menafikan bahawa memang ada kelemahan tetapi sudahkah sampainya masa untuk menolak kerajaan PH?
Adilkah jika kita menyamakan prestasi 18 bulan PHdengan penguasaan selama 61 tahun oleh Barisan Nasional (dan dahulunya Perikatan)?
Adakah kita lebih percaya kempen fitnah berbanding usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan PH, termasuk usaha membayar semula hutang berbilion ringgit serta ketirisan dan penyelewengan kerajaan lama?
Namun, walaupun fakta dan kebenaran berada di pihak kita, masih ramai yang mahu mempercayai naratif yang berasaskan fitnah dan berita palsu. Apa sebenarnya yang sedang berlaku sekarang? Apa faktor-faktor yang menyumbang kepada persepsi dan keadaan politik yang penuh gelisah ini?
Sentimen sekarang di kalangan ramai orang Melayu adalah bahawa kerajaan PH didominasikan oleh Lim Guan Eng dan DAP. Benarkah begitu? Adakah anda rasa DAP menguasai dan mendominasi pentadbiran negara ini?
Dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, fitnah yang mereka bawa adalah bahawa Dr Mahathir menguasai segala-galanya sehingga DAP tidak relevan sama sekali. Benarkah begitu?
Adakah anda rasa DAP tidak mempunyai sebarang tenaga atau kuasa? Adakah anda rasa kita lemah sehingga tidak berdaya berbuat apa-apa?
Walau apa pun, fitnah yang melahirkan sentimen-sentimen ini adalah benar atau “real”. Sampaikan sudah ada sentimen di kalangan ahli DAP yang merasakan mereka tidak mahu lagi menyokong Bersatu seolah-olah Bersatu adalah musuh.
Manakala di kalangan ahli Bersatu pula, ada yang merasakan DAP sebagai beban kepada mereka. Apa tidaknya, mereka diejek dan diserang dengan sentimen bahawa DAP mengancam kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia.
Kesatuan dan perpaduan
Tetapi sedarkah kita bahawa DAP memerlukan Bersatu dan Bersatu memerlukan DAP untuk menjayakan PHdan membina semula Malaysia. PHadalah gabungan empat parti, iaitu DAP, Bersatu, Keadilan dan Amanah, hanya dengan kesatuan dan perpaduan kesemua parti komponen PH, barulah kita dapat mewakili semua lapisan dan golongan rakyat.
Kesatuan dan perpaduan inilah yang amat ditakuti oleh gabungan PAS-Umno yang turut didokong oleh MCA dan MIC. Kerana jika PH bersatu padu, gabungan pembangkang tidak lagi relevan.
Mengapa mereka tidak akan relevan jika kita bersatu padu? Kerana hanya PH, sejak Mei tahun lalu, mengemukakan pelbagai tawaran dan pelaksanaan idea yang bernas untuk rakyat dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi.
Kita inginkan semua rakyat berpeluang menikmati pekerjaan yang baik dengan gaji berpatutan, peluang perniagaan yang baik dan menguntungkan, pendidikan yang berkualiti, jaminan keselamatan, kesihatan dan kepentingan bersama lain. Ini sudah kita janjikan dan sedang kita laksanakan.
Sudah tentu ia tidak boleh dilaksanakan dalam masa setahun atau dua tahun sahaja kerana struktur pentadbiran negara telah dirosakkan oleh Barisan Nasional, terutamanya sejak pentadbiran Najib sejak satu dekad yang lalu. Proses reformasi institusi dan tumpuan jentera kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakannya.
Ini yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan PH. Tetapi apa pula yang dilakukan oleh pembangkang? Adakah mereka mengemukakan idea bernas untuk kebaikan rakyat? Tidak!
Malah, apabila Belanjawan 2020 disediakan oleh kerajaan PHmenjadi hadiah untuk rakyat dan golongan pekerja serta berpendapatan sederhana, apa yang ditawarkan oleh BN dan PAS? Tidak ada apa-apa. Untuk menyediakan Belanjawan Alternatif pun mereka tidak mampu.
Politik pembangkang
Jadi apa yang pembangkang buat? Sejak dulu lagi, senjata mereka adalah politik perkauman. Melalui pelbagai media dan keadah, mereka menyebarkan fitnah dan politik benci. Mereka melaga-lagakan kaum dan agama. Yang sedihnya, ada antara ahli PHyang termakan dengan racun politik kotor seperti ini.
Yang saya maksudkan adalah ada antara ahli PH yang mahu melawan politik rasis dengan bertindak secara “api lawan api” atau “fight fire with fire”. Ini akan memburukkan keadaan. Inilah yang dimahukan oleh pihak pembangkang untuk membuktikan bahawa kita sama seperti mereka.
Hanya politik benci kaum menjadi permainan mereka. Bayangkan jika mereka kembali berkuasa, apa yang kita oleh harapkan daripada ideologi perkauman ini?
Adakah kembalinya BN sebagai kerajaan – yang disokong sepenuhnya oleh PAS – akan menjadikan Malaysia lebih baik daripada hari ini?
Apakah keadilan, kestabilan dan keharmonian akan wujud jika PAS dan BN dibenarkan berkuasa?
Sebenarnya sentimen di kalangan Melayu dan bukan Melayu adalah seperti pantulan cermin atau “mirror reflection”. Jika kita membenarkan emosi menguasai diri, dan jika jalan ekstrem menjadi pilihan, apakah agaknya kesudahan untuk kita? Apakah jaminan masa depan untuk DAP?
Sebagai parti pemerintah, ahli-ahli kita harus memainkan peranan untuk menjelaskan pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan kepada orang ramai supaya mesej kerajaan dapat disalurkan kepada semua lapisan masyarakat secara berkesan.
Akar umbi parti adalah pengantara yang amat penting bagi kerajaan dengan rakyat. Pemimpin parti memerlukan akar umbi untuk menyampaikan mesej dan sentimen masyarakat kepada mereka supaya dapat terus memperbaiki segala usaha yang dijalankan.
Dalam era kebebasan media ini, kebanyakan media masih di tahap pemikiran lama. Pemilik media masih memihak kepada rejim lama yang diketahui korup, atau setidak-tidaknya masih beroperasi dalam kerangka pemikiran perkauman. Kebebasan ini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak yang keliru dengan amalan kebebasan dan sikap bertanggungjawab.
Selain kelemahan amalan media hari ini, tidak mustahil juga wujudnya elemen “deep state” atau kuasa gelap dalam sistem pentadbiran yang cuba menumbangkan kerajaan PHdari dalam. Masih ada pihak-pihak yang berjiwa perkauman yang tidak senang melihat usaha PHyang mahu rakyat bersatu padu tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.
Mencari penyelesaian
Jadi, apakah jalan penyelesaian untuk Malaysia yang kita cintai ini? Bagi saya, jawapannya ada dalam diri setiap rakyat yang sayangkan negara dan mahu melihat tanahair kita aman, makmur dan harmoni. Yang saya maksudkan adalah perlunya satu usaha semua pihak untuk membina jalan tengah.
Yang diperlukan adalah objektif bersama. Sebelum PRU14 kita mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk menumbangkan Najib. Selepas pilihan raya, kita memerlukan naratif dan matlamat bersama untuk membina negara kita untuk masa depan.
Dalam usaha membina Malaysia, apa yang penting ialah kita mesti sedar bahawa walaupun wujud perbezaan budaya, bahasa dan etnik, sebenarnya hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia hampir sama, iaitu kita mahu kehidupan yang lebih baik, kita mahu ekonomi yang kukuh, kita mahu keadaan politik yang stabil yang mampu menyediakan pekerjaan dan peluang ekonomi. Kita tidak mahu negara menjadi kacau-bilau dan kita tidak suka sikap benci-membenci antara satu sama lain.
Parti-parti PH mesti menerima hakikat bahawa kita tidak akan menjadi lebih Melayu daripada Umno, lebih Islam daripada PAS, lebih Cina daripada MCA, dan lebih India daripada MIC. Kita akan lebih kuat jika kita berada di jalan tengah untuk memenuhi harapan rakyat Malaysia yang hampir sama aspirasi kita.
Pilihan di tangan kita, sama kita mahu menjadi kerajaan separuh penggal atau melebihi satu penggal. Jika kita membenarkan emosi menguasai diri kita – dan mula menyerang sesama parti – ia bererti kita memang mahu menjadi kerajaan separuh penggal. Apabila ini berlaku, PHakan pecah belah.
Malah lebih teruk lagi, PAS dan BN boleh berkuasa jika kita mengalah di separuh penggal. MCA juga memainkan peranan dalam membantu PAS dan Umno memecah belahkan kerajaan PH.
Namun, sama ada kita kekal sebagai kerajaan untuk jangka masa yang lebih lama, ia terpulang kepada diri kita sendiri. Jika kerajaan PH pecah dan hancur separuh jalan, kesannya bukan setakat kepada DAP atau parti-parti komponen. Apa yang amat saya bimbang ialah nasib Malaysia sendiri.
Jika kita tewas, negara akan kacau-bilau kerana pembangkang tidak ada sebarang perancangan serius untuk mentadbir. Senjata mereka hanyalah politik benci seperti yang kita lihat hari ini.
Apakah mereka mampu mentadbir negara dengan politik benci ini?
Pembangkang hanya mampu menganggu dan memburukkan keadaan. Mereka tidak berminat untuk membina negara. Mereka hanya pentingkan diri dan para pemimpin mereka sahaja. Malah, jika negara ini terjemurus ke dalam kancah huru-hara pun mereka tidak peduli asalkan mereka dapat berkuasa kembali.
Yakinlah, DAP teguh berpadu bersama PH kerana gabungan politik kita adalah tonggak kestabilan. Kita bukan lemah apabila kita berpegang kepada prinsip demokrasi dan keadilan. Malah, kita kukuh dan gagah apabila kita menolak politik benci, rasuah dan salah guna kuasa. DAP berpegang teguh kepada ideologi sosial demokrasi, dan akan terus bersolidariti bersama rakan-rakan seperjuangan kita dalam PH.
Jika kita mensia-siakan peluang ini semata-mata kerana terpengaruh dengan suara-suara dalam media sosial, ia bererti kita akan membiarkan diri dan parti kita dipermainkan oleh pihak lawan.
Sedarlah, kerajaan PH bersungguh-sungguh dalam usaha reformasi. Mungkin kerana kelemahan media atau kurangnya keberkesanan komunikasi menyebabkan usaha murni tenggelam kerana propaganda perkauman.
Sebagai contoh, seperti yang disebutkan awal tadi, walaupun Belanjawan 2020 dipuji oleh semua pihak, ia jarang menjadi topik perbualan kerana ditenggelamkan oleh emosi dan api perkauman.
Jika kita sendiri gagal berkongsi berita baik Belanjawan 2020, dan sebaliknya terikut-ikut dengan sentimen perkauman yang ditimbulkan oleh pembangkang, ia seperti kita menembak kaki sendiri.
PH akan terus berjuang untuk mengekalkan kestabilan, menjamin keamanan dan membawa kemakmuran. Kita mahu membina Malaysia melalui pembinaan jalan tengah.
Kita akan tegas menolak politik ekstrem yang dibawakan oleh pembangkang. Masa depan Malaysia lebih terjamin bersama PH. – 3 November, 2019.
*Petikan ucapan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong sempena Konvensyen Tahunan DAP Johor 2019 di Muar, hari ini.*
Komen