MEMBANGUNKAN Tanjung Piai akan menjadi isu utama Pakatan Harapan dalam kempen pada pilihan raya kecil Parlimen itu walaupun terdapat peningkatan dalam isu perkauman, kata calonnya Karmaine Sardini.
Mesej Karmaine kepada 52,986 pengundi di Tanjung Piai ialah untk menyokong pakatan pemerintah agar tugas pendahulunya, Md Farid Md Rafik bleh diteruskan.
Ahli perniagaan yang juga imam berusia 66 tahun itu berkata, Barisan Nasional menggunakan sentimen perkauman sebagai isu kempen menunjukkan ia telah gagal ketika memerintah negara sejak 60 tahun lalu.
“Isunya lebih kepada infrastruktur seperti jalan-jalan rosak ada yang ditangani oleh kerajaan atas permintaan arwah sebelum dia meninggal. Kerajaan dalam proses untuk melaksanakannya,” kata Karmaine kepada pemberita pada program walkabout di pasar basah Pekan Nenas.
“Kita parti kerajaan, jadi beri peluang kepada kita untuk teruskan agenda pembangunan dalam tiga empat tahun kita boleh selesaikan masalah di sini.
“BN selepas 60 tahun pun masih tak sempurna, kita baru setahun setengah jadi beri peluang,” kata Karmaine dan menambah kerajaan negeri Johor pun hampir menyelesaikan manifesto pilihan rayanya.
Karmaine berdepan lima lagi calon bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai yang kosong berikutan kematian penyandangnya Md Farid.
Lima calon tersebut adalah Wee Jeck Seng dari BN, Presiden Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz, 56; naib pengerusi Wanita Gerakan Wendy Subramaniam, 38; wakil Gabungan Teksi SeMalaysia Faridah Aryani Abd Ghaffar, 43; dan calon bebas Ang Chuan Lock, 39.
BN dijangka akan memainkan isu perkauman dalam pilihan raya itu dengan menuduh Pakatan dikawal oleh DAP.
Karmaine berkata, taktik kempen seperti itu membuktikan Umno dan BN gagal mewujudkan masyarakat kohesif walaupun sudah 60 tahun berkuasa.
“Kita baru setahun setengah. Kalau BN 60 tahun pun tak boleh wujudkan persefahaman kaum menunjukkan ia gagal.
“Kalau dia kata masih guna isu rasis makna dia yang gagal.” – 3 November, 2019.
Komen