.jpg)
KEHIDUPAN dalam demokrasi tidak menghendaki tirani menjadi sebuah sistem politik. Ini kerana tirani hanya mengutamakan kelompok, kumpulan atau ketokohan seseorang yang dianggap sebagai penyelamat’, yang memaksakan suara individu atau kelompok sebagai sebuah ‘wahyu’ yang harus dipatuhi tanpa perlu diperbetulkan atau dikritik.
Ini yang akan terjadi di Tanjung Piai atau dalam pilihan raya kecil lain jika perkiraan jumlah pecah undi menjadi pertimbangan untuk menang dalam percaturan PRK bahkan juga dalam peralihan kuasa yang senatiasa dibicarakan dengan ketentuan oleh jumah kerusi pihak mana yang berkiraan majoriti.
Kisah-kisah tirani angka juga sedang dipercaturkan oleh mereka yang busuk nurani politik dengan strategi rosak undi. Dalam PRK Tanjung Piai misalnya dua calon lain (selain PH dan BN, tolak dua yang bebas) yang dapat memecahkan undi dalam strategi tirani angka dan memberi ancaman adalah Berjasa dan Gerakan.
Manakala calon MCA yang juga mendapat sokongan PAS akan berusaha mendapat undi Cina dan Melayu tetapi cuba dipecahkan oleh Gerakan.
Sementara Berjasa pula mahu meraih atau memecahkan undi Melayu/muslim, selepas kecewa apabila Umno tidak bertanding. Berjasa dikira hendak menawan hati lebih 2,900 pengundi yang mengundi PAS pada pilihan raya lepas di Tanjung Piai.
Strategi memecahkan undi Melayu/Muslim dan Cina dilaksanakan selepas BN membuat keputusan meletakkan calon MCA. Ini yang membuatkan Berjasa - yang perjuangannya adalah meletakkan calon Melayu/Islam bersatu - bertanding walaupun PH (Bersatu) terlebih dahulu meletakkan calon Melayu.
Calon Berjasa akan cuba menjejaskan undi Melayu manakala calon Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan cuba memecah dominasi pengundi Cina, dan ia tentu akan memberi kesan kepada pengundi Melayu yang mempunyai komposisi paling besar iaitu 58 peratus.
Sejauh manakah prinsip Berjasa sebagai Vote Muslim First (VMF) akan menjadi realiti jika tidak yang berlaku adalah DMV - Destroy Muslim
Vote.
Berjasa juga duduk di bawah payung Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS. Mereka juga merestui Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno, bagi mereka untuk mengukuhkan kesepakatan sesama parti politik Melayu. Mungkin mereka inilah calon standby seperti yang pernah disebutkan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Maksud tirani di sini bukanlah pemahaman kepada konsep klasik politk langkah zalim iaitu penindasan sesuka hati berupa seksa fizikal, tetapi tirani moden kaitan politik bermaksud seperti dalam bentuk menzalimi hak pengundi dengan tidak menyuarakan hak mereka.
Demokrasi adalah perwakilan rakyat dan ketika suara satu golongan lebih keras dari yang lain, maka ia akan mempengaruhi dan memenangkannya yang membawa kepada tirani, menghasilkan penghambaan jenis baru iaitu tirani pemainan angka di mana rakyat dipandang semata-mata sebagai pengundi sahaja.
Namun ternyata sedih dalam sistem demokrasi di mana suara rakyat adalah kuasa seperti dalam Pilihan Raya ke14 lepas, ia dapat juga disimpulkan jadi ”angka”, yang dijelaskan oleh pemikir pasca moden Indonesia, Yasraf Amir Piliang sebagai faktor tunggal-absolut penentu kemenangan dalam pilihan raya.
Inilah bentuk demokrasi yang membawa semacam “tirani angka”, iaitu prinsip majoriti mengalahkan prinsip kemajmukan, pandangan, keyakinan, dan ideologi. Angka atau kiraan undi tidak sama dengan kebenaran. Undi majoriti bukan jaminan pemimpin yang terpilih adalah yang terbaik.
Kecenderungan seperti ini membawa kepada “fetisisme angka” — angka atau jumlah undi menjadi perkataan magis yang berkuasa, diraikan jumlah undi sebagai satu-satunya ukuran tunggal-absolut dalam pertarungan politik — yang telah menjauhkan politik dari politik sebenar, iaitu kemajmukan keyakinan, ideologi, dan ideal-ideal politik yang bersifat antagonis antara satu sama lain seperti PH dan BN.
Angka tercabut dari politik ketika undi itu diperolehi bukan dari pertarungan ideologi, melainkan pertarungan kekuatan non-ideologis: seperti pecah undi dalam PRK misalnya, suapan wang dan pencitraan media.
Dalam hal ini tirani angka mengungkapkan dua sistem legitimasi yang saling bertentangan dalam konteks memilih pemimpin. Di satu pihak, legitimasi melalui pengundian dalam pilihan raya atau seperti PRK berupa undi popular, iaitu jumlah undi tertinggi yang menjadi ukuran kemenangan politik. Di pihak lain, legitimasi melalui kemampuan memilih penyelesaian terbaik dan komitmen untuk mengatasi masalah rakyat.
Apa yang peliknya, legitimasi kedua selalu disilaukan daripada penelitian. – 3 November, 2019.
* Ismail Hashim Yahaya merupakan pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen