Model wakaf kaedah terbaik bangunkan Kg Bharu


NEGARA memerlukan pembangunan demi pertumbuhan ekonomi yang mapan kerana ia menjamin kesejahteraan rakyat.

Begitu juga pemilik hartanah di Kampung Baru. Mereka ingin merasai nikmat pembangunan. Rumah-rumah tradisi yang mereka bina sejak tahun 1970-an perlu dinaik taraf dan dibangunkan semula.

Hari ini, kampung tertua di Kuala Lumpur ini dipayungi bangunan pencakar langit termasuk Menara Berkembar KLCC yang terletak tidak jauh daripada kawasan perkampungan itu.

Menurut Mohtar Rahmad yang mengendalikan firma arkitek sendiri dan juga anak kelahiran Kampung Baru, tanah di Kampung Baru boleh dimajukan semula secara pajakan dan wakaf dengan mengekalkan hakmilik kepada keturunan yang akan datang.

Pada masa yang sama, pembangunan dengan cara yang lestari akan menjamin penambahbaikan nilai warisan, budaya dan keagamaan.

Pembangunan Kampung Baru hendaklah selaras dengan hasrat warisan, budaya dan keagamaan seperti dinyatakan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) yang ditubuhkan sejak 2012 mengikut peruntukan Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (Akta 733).

Di bawah Seksyen 2, tanggungjawab utama PPKB adalah untuk memastikan warisan, budaya dan agama pemilik tanah Kampung Baru terpelihara.

Justeru, pembangunan tidak seharusnya mendukung sistem kapitalisme untuk mengaut untung semata-mata. 

Ternyata hari ini, pendekatan kapitalisme gagal mewujudkan keharmonian masyarakat, justeru, satu alternatif yang lebih baik perlu dicari.

Salah satu alternatif itu ialah memajukan tanah di Kampung Baru menggunakan konsep wakaf. Wakaf tidak boleh dijual beli. Oleh yang demikian hartanah wakaf akan menjadi benteng, penyelamat dan pelindung kepada ummah.

Selain itu, pelbagai bentuk mauquf (objek) wakaf seperti wakaf tunai, wakaf hartanah, wakaf pelaburan, wakaf rumah dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan pemilik dan pihak yang berkepentingan. Pahala berwakaf pula akan mengalir selagi fizikal mauquf wakaf wujud dan manfaat pahalanya berterusan kepada pewakif.

Oleh kerana kebanyakan pemilik tanah di Kampung Baru ingin mengekalkan pegangan tanah sebagai warisan tanpa menolak pembangunan yang dibawa, jadi Akta Tanah 1987 perlu disemak semula.

Pakar undang-undang tanah, Profesor Salleh Buang pernah menyatakan bahawa Akta Tanah 1987 yang mengenakan sekatan ‘tidak boleh dijual dan diduduki” bangsa selain Melayu perlu disemak.

Kalau perlu sekatan ‘tidak boleh diduduki’ hendaklah dimansuhkan supaya bangunan yang dibina nanti boleh disewakan kepada orang luar. Penyewaan bukanlah pemilikan malah kata beliau akta ini boleh diharmonikan dengan Enakmen Rezab Melayu 1913 yang berkaitan.

Wakaf adalah pendekatan terbaik memajukan tanah tanpa menghakis pemilikan dan warisan hartanah berkenaan. Pada masa yang sama ia mampu melestari manfaat kepada pewaris dan masyarakat.

Contoh, pembangunan tanah wakaf di sekitar Masjidil Haram (Makkah) dan Masjid Nabawi (Madinah) yang meningkatkan nilai dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Islam seantero dunia.

Pembangunan tanah di Kampung Baru boleh dijalankan dengan mengambil contoh pembangunan tanah Imarah Wakaf di Jalan Tun Perak. Usahasama memajukan tanah ini telah berjaya dilaksanakan antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), pemaju dan Bank Islam (M) Berhad. Apa yang penting adalah situasi menang-menang dengan memanfaatkan infrastruktur yang sedia ada di kawasan berdekatan.

Selain itu melalui konsep wakaf, dana pembangunan juga boleh dikumpulkan menggunakan ‘sukuk’ atau bon Islam. Menurut pensyarah Universiti Multimedia, Dr Ridzwan Bakar yang juga aktivis wakaf, sukuk secara Islam boleh digunakan sebagai satu instrumen bagi mendapatkan dana untuk memajukan tanah di Kampung Baru tanpa melibatkan bank-bank tradisional.

Tanah boleh diwakafkan oleh pewakif kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang merupakan pemegang amanah tunggal bukan pemilik. Dengan rukun dan syarat pewakafan yang sempurna, pihak MAIWP boleh mentadbir tanah berkenaan mengikut lunas Islam dengan menjaga warisan, budaya dan agama.

Seterusnya, MAIWP akan mengambil daya usaha untuk memajukan tanah-tanah berkenaan berdasarkan sighah atau hujjah (kontrak) hasrat pemilik asal yang berpaksikan warisan, budaya dan agama seperti di atas.  – 2 November, 2019. 

* Profesor Dr Ismail Omar adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) . Beliau juga pensyarah kanan dalam bidang pengurusan hartanah dan dilantik sebagai pakar wakaf di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.Tesis PhD beliau dalam bidang ekonomi di Universiti Aberdeen, Scotland, United Kingdom pada 1999 meliputi kajian punca sebenar yang menghalang pembangunan Kampung Baru.
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen