Muhyiddin nafi tahanan Sosma didera


Mohd Farhan Darwis

Lima daripada 12 suspek yang didakwa menyokong kumpulan pengganas LTTE mendakwa diri mereka diberi layanan buruk, diseksa dan diugut semasa penahanan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2019.

MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menafikan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) didera.

Muhyiddin berkata, polis menafikan penderaan itu berlaku dan memberi jaminan akan menyiasat perkara itu kerana ia merupakan dakwaan yang berat.

“Saya semak dengan pihak ketua polis negara, dengan pihak pegawai terlibat, mereka menyatakan tidak benar,” katanya.

Tambahnya tahanan berkenaan tidak mengadu mengenai penderaan ketika dihadapkan ke mahkamah.

“Setakat semalam saya diberi laporan, saya bertanggungjawab tetapi jangan ambil tindakan hanya kerana seorang, dua kata begitu dan buat andaian.

“Mesti siasat, ini berat punya tuduhan, saya tak pandang ringan dan minta pihak ketua polis negara buat siasatan seara lebih terperinci,” kata Muhyiddin lagi.

Beliau berkata demikian selepas penamaan calon PRK Parlimen Tanjung Piai di Pontian, hari ini. 

Semalam, peguam bagi dua daripada lima suspek yang didakwa menyokong LTTE berkata mereka diberi layanan buruk dalam tahanan, dan mahkamah perlu memeriksa dakwaan serta merakamkan kenyataan mereka.

Kenyataan pengusaha kedai runcit B. Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk A. Kalaimughilan, 28 dirakam secara tertutup di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi semalam.

Peguam mewakili Kalaimughilan,  M.V. Yoges berkata penahanan anak guamnya tidak mengikut tidak mematuhi peraturan penjara.

12 individu termasuk dua wakil rakyat DAP ditahan di bawah Sosma dan didakwa dengan pelbagai kesalahan kerana menyokong kumpulan pengganas pada 29 dan 31 Oktober. – 2 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen