Laluan khas pengundi Tanjung Piai balik mengundi dari Singapura


Mohd Farhan Darwis

Kerajaan akan cuba sedaya upaya memastikan pengundi yang bekerja di Singapura akan pulang mengundi, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2019.

PENGUNDI di Singapura akan disediakan laluan khas untuk pulang mengundi di Tanjung Piai pada 16 November, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Katanya, kementerian sudah berbincang dengan Jabatan Imigresen untuk menyediakan laluan di Tambak Johor untuk memudahkan pengundi pulang mengundi.

“Kalau mereka menunjukkan mereka penduduk Pontian dan nak mengundi pada 16 November, kita akan sediakan laluan.

“Laluan masuk di situ mereka akan cepat sampai sebelum waktu penamat pada 16 November,” kata Muhyiddin kepada pemberita.

Laluan itu katanya akan dibuka bermula tengah malam sebelum 16 November hingga petang pada hari mengundi.

Tambah Muhyiddin, Pakatan Harapan akan cuba sedaya upaya memastikan pengundi-pengundi yang bekerja di Singapura akan pulang mengundi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon kerusi Parlimen Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan di Pontian.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Dr Md Farid Md Rafik, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana masalah jantung pada 21 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 16 November dengan tempoh kempen 14 hari bermula 2 November.

Kawasan Parlimen itu mempunyai seramai 52,986 pengundi meliputi dua DUN iaitu Pekan Nenas dan Kukup. – 2 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen