Sah 6 penjuru di PRK Tanjung Piai


Mohd Farhan Darwis

Enam calon PRK Tanjung Piai dari kanan, Wee Jeck Seng (BN), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Karmaine Sardini (PH), Ang Chuan Lock (Bebas), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar (Bebas). – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 November, 2019.

ENAM calon sah bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai yang bakal berlangsung pada 16 November depan, termasuk dua calon Bebas.

Calon parti kerajaan Karmaine Sardini, 66, disahkan ditentang bekas wakil rakyat kawasan itu, Wee Jeck Seng, 55, dan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Wendy Subramaniam, 38.

Tiga lagi pencabar adalah Presiden Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz, serta dua calon Bebas, Ang Chuan Lock, 39, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, 43.

Pegawai Pengurs Pilihan Raya Zulkifly Mohd Tahir mengumumkan enam nama tersebut di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan, Pontian selepas tamat tempoh bantahan.

Pemimpin NGO pemandu teksi, yang disebut-sebut sebagai calon pertubuhan itu tidak muncul sehingga sehingga pusat penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi ini.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Dr Md Farid Md Rafik, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana masalah jantung pada 21 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 16 November dengan tempoh kempen 14 hari bermula hari ini.

Kawasan Parlimen dengan seramai 52,986 pengundi itu meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Pekan Nenas dan Kukup. – 2 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen