Keluarga Pastor Koh anjur himpunan sempena 1,000 hari


Noel Achariam

Isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew juga menjelajah ke beberapa ibu kota dunia untuk memberi ceramah tentang kehilangan paksa, berkaitan penculikan suaminya oleh polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2019.

KELUARGA Pastor Raymond Koh menganjurkan himpunan di Kuala Lumpur sempena 1,000 hari kehilangan aktivis itu, bagi mengingatkan rakyat Malaysia tentang apa yang berlaku.

Mereka tidak putus berharap sejak penculikan Koh pada 2017 dan akan terus mengingatkan kerajaan bahawa mereka masih mencari jawapan dan keadilan.

Isteri Koh, Susanna Liew juga menjelajah ke beberapa ibu kota dunia untuk memberi ceramah tentang kehilangan paksa, berkaitan penculikan suaminya oleh polis.

Liew, 63, dijemput oleh Jabatan Keadilan AS pada Julai untuk memberikan ucapan di Washington DC,  Finland, London dan Korea Selatan.

Beliau berkata matlamat himpunan itu diadakan ialah untuk memastikan isu itu terus hidup dan memberitahu rakyat Malaysia bahawa penculikan itu tidak sepatutnya berlaku di sini.

“Kami berharap beliau masih ditahan di mana-mana dan akan ditemui.

“Kami bercadang untuk teruskan hingga ada penyelesaian dan penutup untuk keluarga ini,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Himpunan 1,000 hari kehilangan Koh itu akan diadakan di Hotel Pullman, Kuala Lumpur pada 16 November.

Antara tetamu yang akan dijemput ialah Menteri Dalam Negeri Muhiyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Keluarga itu menjangkakan 150 orang akan dijemput. Pada program itu, previu 30 minit dokumentari kehilangan Koh dihasilkan oleh Mediacorp akan ditayangkan.

Liew berkata keluarga itu turut menyediakan kompilasi video liputan berita sejak penculikan Koh.

Antara tetamu lain dijemput untuk menyampaikan ucapan ialah pengarang bersama “Where is Pastor Raymond Koh” – Lee Hwa Beng, bekas duta Dennis Ignatius dan peguam mereka. – 4 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen