TIGA orang awam terbunuh dalam kejadian serangan bom di selatan Tripoli pada Khamis, demikian menurut seorang pegawai.
“Dua lelaki dan seorang wanita maut dalam kejadian itu yang berlaku di kawasan Twesha (kira-kira 40 kilometer selatan Tripoli),” kata Penasihat Maklumat Kementerian Kesihatan Amin Hashem kepada Xinhua.
Beliau berkata serangan itu turut menyebabkan beberapa lagi orang cedera dan ambulans sukar ke lokasi insiden kerana dihalang tentera yang berpangkalan di bahagian timur.
Tiada kenyataan rasmi daripada pihak tentera di timur berhubung kejadian itu.
Tentera di timur diketuai Jeneral Khalifa Haftar, yang memimpin kempen ketenteraan sejak awal April di dalam dan sekitar Tripoli, dalam percubaannya untuk menguasai Tripoli dan menjatuhkan kerajaan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ribuan terbunuh dan cedera dalam pertempuran, menyaksikan hampir 120,000 orang awam terpaksa melarikan diri.
Serangan udara terus memuncak di Tripoli Selatan sejak bermulanya konflik, menyebabkan puluhan awam terkorban dan menerima kecamanan masyarakat antarabangsa. – Bernama, 2 November, 2019.
Komen