PUSAT penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor mula dibuka pukul 9 pagi tadi dan proses penyerahan akan tamat sejam kemudian, kata Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Zulkifly Mohd Tahir
Pertandingan merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai itu dijangka menyaksikan pertandingan enam penjuru, termasuk dua calon bebas Ang Chuan Lock, 39, yang juga merupakan pengasas pusat tuisyen dan Faridah Aryani Abd Ghaffar,43.
Calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Badrulhisham Abdul Aziz tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8:10 pagi diiringi penyokongnya yang membawa bendera parti.

Calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini tiba kira-kira pukul 8:22 pagi diiringi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan beberapa pimpinan tertinggi PH.
Manakala calon Gerakan Wendy Subramaniam tiba pada pukul 8:30 pagi diiringi presidennya Dominic Lau dan penyokong mereka.
Calon Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua MCA Tanjung Piai Wee Jeck Seng hadir di pusat penamaan calon kira-kira pukul 8:50 pagi diiringi pimpinan tertinggi BN, antaranya Timbalan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad dan Presiden MCA Wee Ka Siong.

Penyokong PH diletakkan di sebelah kanan dewan bersekali dengan penyokong Gerakan dan Berjasa, namun penyokong BN diasingkan di bahagian kiri dewan.
Setakat pukul 9:20 pagi, calon daripada kmpulan pemandu teksi Gabungan Teksi Se-Malaysia, Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail bagaimanapun masih belum tiba.
PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Dr Md Farid Md Rafik, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana masalah jantung pada 21 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 16 November dengan tempoh kempen 14 hari bermula hari ini. – 2 November, 2019.
Komen