Terus jadi ahli PAS jika perlu, tapi sokong Pakatan, kata Mahfuz


Diyana Ibrahim Looi Sue-Chern

Penyokong Pakatan Harapan tekun mendengar ceramah pemimpin di acara Kenduri Rakyat anjuran Amanah yang turut dihadiri tiga pemimpin PAS. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Oktober, 2017.

TIDAK ramai yang hairan bila tiga wakil rakyat PAS tiba di program Amanah di luar ibu pejabat parti itu di Alor Setar, malam tadi, malah kehadiran mereka disambut mesra.

Ini kerana tiga pemimpin PAS itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, Adun Anak Bukit Amiruddin Hamzah dan Adun Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa sering muncul di program Pakatan Harapan walaupun parti mereka menolak kerjasama dengan pakatan pembangkang itu.

Mereka dilihat disambut dengan begitu mesra, bergurau senda bersama pemimpin Amanah dalam program itu seolah-olah tidak ada perseteruan yang pernah berlaku antara dua parti.

Malah ada juga penyokong parti Amanah tidak ketinggalan mengambil gambar bersama mereka dalam acara Kenduri Rakyat anjuran Amanah itu.

Ketiga-tiga pemimpin PAS itu juga jelas dengan apa yang mereka mahukan – iaitu menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mahfuz mengakui ada mesej cuba disampaikannya.

“Saya nak betulkan pendapat ahli PAS, mereka tidak perlu keluar parti tapi masih boleh menyokong PH yang dapat membantu rakyat menukar kepimpinan sekarang dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui di tapak acara kenduri rakyat di Stargate Alor Setar, Kedah.

Kenduri rakyat merupakan sebahagian daripada program Konvensyen Rakyat Amanah yang diadakan di Kedah.

Mahfuz berkata beliau juga tidak takut tindakan berani menghadiri program seteru partinya akan mencetuskan perasaan kurang senang di kalangan pemimpin dan ahli PAS.

Katanya, menghadiri program parti lain tidak boleh dianggap sebagai kesalahan dalam dunia politik moden hari ini.

“Saya tak kisah kalau ada orang nak pinggir saya asal Allah tak pinggir saya, hidup saya bergantung pada Allah dan bukan pada manusia.

“Tapi dalam perjuangan ini, saya ada pengikut, mereka juga beri sokongan secara senyap,” katanya ketika ditanya adakah beliau sanggup menerima tindakan daripada PAS.

Sebelum ini, Muktamar PAS ke-63 pada April lalu dikejutkan dengan kain rentang bermesej jelas mendesak ketiga-tiga pemimpin itu keluar parti kerana didakwa jadi “harum manis”, PAS di luar tapi Amanah di dalam, merujuk kepada warga buah yang terkenal di Perlis itu.

Malah, Mahfuz dan Nasir juga mengakui kepada The Malaysian Insight sebelum ini bahawa mereka tidak dijemput pada muktamar itu.

Tiga wakil rakyat itu melanggar arahan PAS Pusat supaya tidak menyertai himpunan Bersih 5, tahun lalu.

Amirudin meletakkan jawatannya sebagai yang dipertua PAS Kuala Kedah dan disusuli Nasir sebagai timbalannya atas alasan tidak dapat memikul arahan PAS Pusat.

Kerjasama kunci tentang BN

Senada dengan rakan seperjuangannya, Amiruddin berkata matlamat paling utama ialah menumbangkan kerajaan kleptokratik tanpa mengira parti mana.

Katanya, sejarah membuktikan tidak ada parti yang boleh bergerak sendiri untuk mencapai matlamat tersebut.

“Kuncinya kita kena bekerjasama. Kalau anda berdiri sendiri kamu tidak akan berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, Amiruddin tidak berpendapat usahanya menjalinkan hubungan baik dengan PH, dihargai oleh partinya meskipun PAS dilihat kebelakangan ini kerap menghadiri program BN.

Amanah yang ditubuhkan pada 2015 adalah parti serpihan daripada PAS yang berpecah akibat krisis kepimpinan dalam parti Islam itu.

Amiruddin berkata tindakannya itu mungkin menjejaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat di mana beliau mungkin tidak dicalonkan oleh PAS.

Mahu raih pengundi atas pagar

Nasir pula berkata tumpuannya kini menguatkan pembangkang menentang BN dalam pilihan raya akan datang.

Malah beliau tidak merasa kehadirannya bersama dua pemimpin PAS lain adalah salah, sebaliknya disifatkan sebagai pendekatan matang.

“Saya masih berharap kita hanya ada satu parti pembangkang menentang BN. Kita ada harapan,” katanya.

Selain itu, katanya perhimpunan atau ceramah perlu dibuat untuk meyakinkan sesetengah golongan terutama pengundi atas pagar supaya menyokong pembangkang. – 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen