NAJIB Razak hari ini ke Tanjung Piai walaupun sakit mata untuk meluangkan masa bertemu dengan jentera kempen Barisan Nasional menjelang hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu esok.
Penasihat BN yang juga bekas perdana menteri memulakan programnya dengan menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid As-Syakirin di Kampung Sungai Kuali, Serkat sebelum menghadiri pertemuan tertutup bersama ketua-ketua cawangan Umno di Tanjung Piai.
“Ini… nampak bengkak tak?” kata Najib, ketika ditanya mengenai keadaan matanya.
Matanya kelihatan bengkak semasa ditemui beramah mesra dengan penduduk Kampung Sungai Kuali selepas sembahyang Jumaat tadi.
Beliau juga mengakui sudah berjumpa doktor.
Dalam kunjungannya di Tanjung Piai hari ini, Najib diiringi ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi, dan beberapa ahli Majlis Tertinggi Umno.
Semalam, Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kes rasuah dan pengubahan haram yang dihadapi Najib selepas peguamnya Muhammad Shafee Abdullah memberitahu bekas perdana menteri mengalami jangkitan mata.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan kes yang sepatutnya disambung semula petang semalam untuk perbicaraan hari ke-30 sehingga Isnin.
Shafee sebelum itu memberitahu mahkamah Najib mempunyai cuti sakit sehari kerana menjalani rawatan di Pusat Pakar Sakit Mata Antarabangsa, dipercayai akibat alahan.
Beliau juga memberitahu, Najib akan menjalani ujian darah penuh dan bergantung pada keadaan, mungkin tidak dapat meneruskan programnya hari ini. – 1 November, 2019.
Komen