Calon MCA bukti Muafakat Nasional tak pinggir bukan Islam, kata Najib


Mohd Farhan Darwis

Penasihat BN Najib Razak berkata pemilihan Wee Jeck Seng dibuat dalam keadaan sukar ekoran sentimen yang mahukan calon Melayu diletakkan di kawasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2019.

CALON MCA akan bertanding di PRK Tanjung Piai untuk menunjukkan Piagam Muafakat Nasional tidak meminggirkan komuniti bukan Islam serta etnik di Sabah dan Sarawak, kata Penasihat BN Najib Razak.

Najib berkata, pemilihan calon BN di kerusi itu, Wee Jeck Seng dibuat dalam keadaan sukar ekoran sentimen yang mahukan calon Melayu diletakkan di kawasan itu.

“Kalau menang masa depan kita adalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Insha Allah, Putrajaya itu lebih cerah dalam tangan kita, BN bersama PAS dalam Pemuafakatan Nasional.

“Kita bagi isyarat jelas kepada orang bukan Islam termasuk Sabah dan Sarawak, kita kena ingat kalau nak tadbir negara kena ada (sokongan daripada) Sabah dan Sarawak, bukan hanya sekitar kita.

“Bila mereka yakin boleh bersama kita, masa depan kita tadbir negara semula akan lebih terjamin,” kata Najib.

Dalam ucapan di hadapan ketua cawangan Umno petang ini, Najib mengakui pemimpin berkenaan mahu calon dari parti berkenan bertanding kerana majoriti pengundinya adalah pengundi Melayu.

Namun beliau yakin pemilihan Wee sebagai calon adalah keputusan terbaik dan akan menang kerusi tersebut buat kali ketiga kerana pernah mewakilinya selama dua penggal.

“Matlamat kita bukan nak menang PRK sahaja. Kita nak tubuh kerajaan. Seksanya kesengsaraan kita jadi pembangkang. Kita dapat merasai, ada yang dah kena dakwa, lebih-lebih lagi saya, harga kelapa sawit pun dah jatuh harga,” kata Najib.

Tambahnya, dengan sokongan akar umbi BN yakin Wee mampu menang di kerusi itu memandangkan beliau pernah menjadi wakil rakyat dua penggal di Parlimen Tanjung Piai.

Keputusan itu juga adalah langkah terbaik demi BN, selepas mengemukakan calon dari Umno dalam siri PRK penggal ini.

“(Ahmad) Zahid (Hamidi), presiden Umno, bukan senang nak pilih. Malam-malam pun saya rasa dia tak tidur nyenyak nak pilih calon.

“Dia faham sentimen orang Tanjung Piai,  tapi kita ada perkiraan, demi kebaikam Umno dan BN, percayalah,” kata ahli Parlimen Pekan itu lagi.

“Kita dah menang di (Parlimen) Cameron Highland, Umno jadi calon, kita dah menang (DUN) Semenyih, Rantau, calon Umno. Di Tanjung Piai kita buktikan MCA pun boleh menang.

Najib juga memberi jaminan akan memastikan Wee terus membela komuniti Melayu di Tanjung Piai sekiranya beliau menang di kerusi itu.

“PRK ini masa kita nak tunjuk kita tolak Pakatan Harapan dan pilih BN. Kita pilih Wee. Orang lama, dua penggal jadi wakil rakyat.

“Kita tahu dia tolong orang Melayu, kalau dia tak tolong saya sepak kaki dia. Saya akan pastikan,” kata Najib lagi.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai Jeffridin Atan yang hadir dalam pertemuan itu turut memberi kaminan akar umbi Umno akan memberikan sokongan padu kepada Wee.

Beliau juga mengingatkan akar umbi Umno agar tidak kecewa dengan keputusa  pucuk pimpinan BN mengumumkan Wee sebagai calon.

“Jangan ada ahli yang kecewa kerana Umno sentiasa mendukung pemimpin atasan.

“Parti kita bukan boleh dikawal secara emosi kerana bukan individu tentukan kejayaan. Kita mesti bersatu padu untuk memastikan calon BN kita berjaya menentang kerajaan sepenggal ini,” katanya.

Wee menang kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam PRU 2008 dan 2013, namun tewas pada 2018 kepada Dr Md Farid Md Rafik, calon PH dari Bersatu dengan majoriti kira-kira 500 undi.

Selain Wee, empat lagi calon dijangka akan tampil ke penamaan calon esok iaitu dari PH, BN, Gerakan, Berjasa, dan calon bebas mewakili pemandu teksi.

PH mengumumkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini manakala parti Berjasa mengumumkan presidennya Dr Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai calon.

Kumpulan pemandu teksi Gabungan Teksi Se-Malaysia juga mengumumkan Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail sebagai calon mereka.

Bekas parti anggota BN, Gerakan pula mengumumkan timbalan setiausaha agung parti itu, Wendy Subramaniam sebagai calonnya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Md Farid, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana masalah jantung pada 21 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 16 November dengan tempoh kempen 14 hari bermula 2 November. – 2 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen