2 lelaki Nigeria ditahan terlibat edar kokain, rekrut keldai dadah


POLIS menahan dua lelaki warga Nigeria dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah jenis kokain dalam satu serbuan di Petaling Jaya, Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd berkata kedua-dua suspek, yang ditahan menerusi Operasi Alsum, turut disyaki terlibat dalam sindiket merekrut rakyat Malaysia sebagai keldai dadah.

“Polis turut merampas kokain seberat 227 gram yang dianggarkan bernilai RM55,000 termasuk menyita sebuah kereta jenis Nissan Sentra bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Setakat ini, siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing mereka didapati negatif.

Mohd Khalil turut mendedahkan seramai 86 rakyat Malaysia ditahan di luar negara pada tahun ini kerana menjadi keldai dadah.

Katanya orang ramai hendaklah lebih berhati-hati dan tidak menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah yang mengambil kesempatan terhadap rakyat di negara ini kerana terdesak memerlukan wang.

“Jangan terpedaya dengan modus operandi sindiket berkenaan malah rakyat Malaysia yang ditawarkan kerja ke luar negara atau ditawarkan sejumlah wang untuk ke bekerja di luar negara dinasihatkan membuat semakan dengan jabatan-jabatan berkaitan,” katanya. – Bernama, 1 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen