BANDAR paling bercahaya pernah dilihat oleh Nick Kelesau seorang lelaki berketurunan Penan, hanyalah Miri. Tidak pernah beliau bermimpi akan berpeluang pergi lebih jauh dari itu.
Kini Kelesau yang berusia 54 tahun boleh berbicara mengenai Zurich, Bern dan Basel di Switzerland, dan bandar Perancis seperti Paris dan Dijon - tempat yang tidak pernah diketahuinya selama ini sehinggalah beliau mendapat tawaran berlakon dalam filem mengenai kehidupan aktivis Switzerland, Bruno Manser yang ditayangkan baru-baru ini, “Paradise War – The Bruno Manser Story”.
Dalam filem RM25 juta (AS$6 juta), yang diharamkan di Malaysia, Kelesau melakonkan watak seorang ketua Penan yang menjadi kawan rapat Manser, yang memperjuangkan hak kaum nomad untuk hidup seperti diingini dan menentang pencerobohan tanah mereka oleh syarikat pembalakan.
Filem terbitan Sweden-Austria itu berdasarkan kisah sebenar semasa Manser tinggal dengan suku kaum yang bekalanan makanan mereka bergantung kepada hutan dimusnahkan oleh pembalak.
Manser tinggal bersama suku kaum Penan pada 1980-an dan kegiatan aktivismenya diketahui umum pada 1990-an, hingga membawa tertubuhnya kumpulan Bruno Manser Fonds di Switzerland.

Beliau diisytiharkan sebagai persona non grata oleh kerajaan Sarawak dan hilang pada 2000 ketika dilaporkan dalam perjalanan ke sempadan Sarawak-Kalimantan untuk kembali ke Eropah melalui Indonesia.
Kehilangan beliau masih menjadi misteri hingga ke hari ini.
Paradise War yang diarahkan oleh Niklaus Hilber dan dihasilkan oleh Valentin Greutert, mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan.
Memandangkan penggambaran di lokasi tidak boleh dilakukan di Sarawak kerana sensitiviti politik, penggambaran dilakukan selama dua bulan di Kalimantan.
Ketika tayangan perdana di Festival Filem Zurich pada 26 September, Kelesau, bersama seorang lagi pelakon Penan, Elizabeth Ballang, diterbangkan ke Zurich.
Ballang memegang watak sebagai kekasih Manser.
Watak Manser dipegang oleh pelakon Switzerland berusia 29 tahun, Sven Schelker. – 8 November, 2019.
Berita penuh di sini
Komen