Berjasa akan bertanding di Tanjung Piai


Berjasa akan meletakkan calon pada PRK Tanjung Piai untuk memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam memilih calon yang beragama Islam sebagai wakil mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2019.

BARISAN Jemaah Islamiah Se-Malaysia atau Berjasa akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai atas tiketnya sendiri untuk memberikan pengundi pilihan calon Melayu dan Muslim, lapor media.

Berjasa, yang menyertai PAS membentuk kerjasama atas nama Gagasan Sejahtera, bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum yang lalu atas tiket PAS.

Ketua Penerangan Berjasa Hazwan Mohammad dipetik berkata, pihaknya meletakkan calon untuk memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam memilih calon yang beragama Islam sebagai wakil mereka.

“Atas dasar prinsip serta memeriahkan sistem demokrasi di Malaysia dan menimbang peri pentingnya memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam, bagi mereka mengundi calon Muslim berwibawa untuk dihantar ke Parlimen, Berjasa dengan ini mengumumkan untuk bertanding pada PRK Tanjung Piai,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.

Berjasa dijangka akan mengumumkan calonnya hari ini, menjelang penamaan calon esok.

Presiden Berjasa Dr Badhrulhisham Abdul Aziz pula dipetik berkata calon parti itu “seorang profesional dan anak jati Johor”.

Keputusan Berjasa ini menepati bayangan awal yang diberikannya jika PAS yang bekerjasama dengan Umno setuju Barisan Nasional (BN) meletakkan calon dari MCA di Tanjung Piai.

Berjasa membuat ketetapan itu atas agenda undi daripada pengundi Melayu dan Islam diutamakan untuk calon Melayu dan beragama Islam.

Pengumuman Berjasa ini membayangkan ada lima calon akan menawarkan diri bertanding di Tanjung Piai pada penamaan calon esok iaitu daripada Pakatan Harapan (PH), BN, Gerakan dan calon bebas mewakili pemandu teksi.

PH menamakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini manakala BN mengekalkan bekas ahli Parlimen kawasan itu dua penggal, Wee Jeck Seng yang juga ketua Bahagian MCA Tanjung Piai.

Kumpulan pemandu teksi Gabungan Teksi Se-Malaysia juga mengumumkan calon mereka pagi ini dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Semalam, PAS menafikan laporan parti Islam itu mempunyai calon simpanan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata parti itu tidak akan bertanding sebaliknya tegas menerima dan menyokong calon BN.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana masalah jantung pada 21 September lalu. – 1 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen