PEGUAM kepada Low Taek Jho dilaporkan akan menerima AS$15 juta (RM$62 juta) sebagai upah membantu ahli perniagaan dalam buruan itu menyelesaikan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Wang diperolehi dari saham Low dalam EMI Music Publishing bernilai AS$415 juta. Low sebelum ini melabur AS$100 juta dalam syarikat itu menggunakan wang yang didakwa diseleweng dari 1MDB.
Antara pihak yang menerima bayaran hasil penyelesaiandengan DoJ itu adalah firma guaman Christie Law Firm LLC milik bekas gabenor New Jersey Chris Christie, Kobre & Kim LLP dan Lowenstein Sandler LLP.
Perjanjian bagi bayaran kepada firma-firma guaman ini dilaporkan telah ditetapkan sebelum penyelesaian dengan DoJ dicapai, dengan syarat wang hanya akan digunakan untuk membayar yuran guaman.
Low yang didakwa dalang di sebalik skandal 1MDB, menyelesaikan kesnya dengan DoJ untuk mendapatkan semula hampir AS$1 bilion (RM4.3 bilion) yang diseleweng dari dana 1MDB.
Persetujuan yang dicapai menyelesaikan kes rampasan harta terhadap Low itu dimulakan di bawah Inisiatif Mendapatkan Semula Aset Kleptokrasi oleh DoJ.
Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low dilaporkan kini menetap di Emiriah Arab Bersatu dan mendapat perlindungan suaka di sebuah negara lain.
Bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa merupakan sekutu rapat Jho Low, sedang dibicarakan atas empat tuduhan salah guna kuasa melibatkan RM2.3 bilion dari 1MDB serta 21 tuduhan pengubahan haram bagi jumlah yang sama. – 1 November, 2019.
Komen