PILIHAN raya kecil (PRK) Tanjung Piai akan menjadi referendum rakyat terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih kuasa persekutuan pada Mei tahun lalu, kata penganalisis dan pemerhati politik.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, PRK kali ini akan menjadi medan bagi PH dan Barisan Nasional (BN) menjawab semua isu yang melingkari kedua-duanya sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, penganalisis berkata masih belum jelas apakah kelebihan bagi PH dan BN yang akan memulakan kempen Sabtu ini.
Penganalisis politik Cheah See Kian berkata, penduduk di Tanjung Piai terdiri daripada pelbagai kaum dan MCA mempunyai kelebihan selepas menamakan Wee Jeck Seng sebagai calon mereka.
PH pula meletakkan Karmaine dari Bersatu sebagai calon mereka.
Cheah berkata walaupun Karmaine bertanding di Pontian pada PRU14, tetapi calon PH itu sudah berusia dan masyarakat Cina di Tanjung Piai mungkin tidak begitu mengenalinya.
Tambah beliau, walaupun Umno Bahagian Tanjung Piai mahu bertanding di kawasan Parlimen itu, tetapi calon dari MCA adalah pilihan yang lebih tepat kerana dengan PAS menyokong Umno, isu kaum dan agama mungkin tidak akan berkesan pada PRK kali ini.
Umno mungkin berkata keputusan meletakkan calon MCA menunjukkan Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani bersama PAS adalah inklusif dan juga memenuhi kepentingan bukan Islam, kata Cheah.
Ini PRK yang kesembilan selepas PRU14 selepas Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Semenyih di Selangor; Port Dickson dan Rantau di Negeri Sembilan; Cameron Highlands di Pahang; dan Sandakan di Sabah.
Setakat ini PH menang lima PRK, manakala BN menang di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau. Kerjasama Umno dan PAS menghasilkan kemenangan dalam tiga PRK.
Umno dan PAS kemudiannya merasmikan kerjasama mereka dengan menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu. PRK Tanjung Piai adalah PRK pertama selepas piagam tersebut dimeterai. – 1 November, 2019.
Komen