KETUA Bahagian Umno Tanjung Piai Jeffridin Atan menafikan memboikot calon MCA Wee Jeck Seng yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Jeffridin berkata, walaupun pucuk pimpinan BN memutuskan MCA kekal bertanding di kerusi itu, Umno akan terus bekerja keras memastikan Wee berupaya menang kerusi Parlimen tersebut.
“Bagi pihak Umno kita berlapang dada terima keputusan BN, kita memandang MCA juga senagai parti komponen BN, semangat ‘brotherhood’ kerjasama muafakat ini sudah berlangsung sejak puluhan tahun lalu.
“Negara ini ditegakkan atas kerjasama BN ini dan kenyataan yang menyatakan Umno menolak calon MCA adalah tak benar. Kita berbesar hati dan bersama-sama nak beroleh kemenangan,” kata Jeffridin, kepada The Malaysian Insight.
Beberapa poster turut disebarkan di laman media sosial mendakwa Umno Bahagian Tanjung Piai menolak keputusan BN mencalonkan Wee untuk bertanding di kerusi itu.
Antara isi kandungan poster berkenaan mendakwa, 58 cawangan Umno di Tanjung Piai akan memboikot PRK sekiranya pucuk pimpinan BN kekal meletakkan Wee sebagai calon.
“Itu semua tidak benar, palsu. Kita tidak tutup Pusat Daerah Mengundi (PDM), kita memang belum mula berkempen, hari kempen akan bermula 2 November nanti, jadi sekarang kita hanya buat kerja-kerja awalan.
“Itu tak bererti kita boikot, pemuafakatan kita amat tinggi, walaupun Umno tak tercalon, semangat kerjasama dengan MCA amat tinggi,” katanya.
BN malam tadi mengumumkan Wee dipilih bagi merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam PRK ini.
Wee merupakan ahli Parlimen dua penggal di kerusi itu sebelum tewas dengan 500 undi kepada Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu dalam PRU14.
Pakatan Harapan (PH) meletakkan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calonnya, manakala Gerakan juga mengumumkan turut meletakkan calon mereka iaitu Wendy Subramaniam, untuk bersaing dalam PRK Parlimen Tanjung Piai.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga dikatakan menerima keputusan BN itu.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, sokongan yang diberi adalah selaras dengan persefahaman Muafakat Nasional dengan Umno yang dipersetujui bersama.
“Saya dengan ini mengesahkan Presiden PAS bersetuju dengan calon yang dikemukakan sebagai calon mewakili BN dalam PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November nanti, iaitu Wee Jeck Seng dari MCA.
“PAS yakin pemilihan calon tersebut dibuat berdasarkan kepentingan setempat di Parlimen Tanjung Piai sendiri yang diharap menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi menguatkan suara pembangkang di peringkat nasional, seterusnya membawa pendekatan politik matang yang tidak melampau.
“Sokongan ini juga adalah selaras dengan persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada 14 September lalu,” katanya.
PAS juga katanya akan menghantar wakil dari kalangan pimpinan kanan parti untuk menghadiri hari penamaan calon pada 2 November ini sebagai sokongan kepada calon pembangkang. – 31 Oktober, 2019.
Komen