Sarawak nafi gugur tuntutan royalti minyak 20%


Desmond Davidson

SARAWAK menafikan ia akan menggugurkan tuntutan 20% royalti minyak seperti dilaporkan oleh perkhidmatan berita antarabangsa Reuters.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak, dalam satu kenyataan pada petang ini, berkata kerajaan negeri “tidak menggugurkan tuntutan dan rundingan saat ini dengan kerajaan pusat berdasarkan tuntutan itu”.

Ia berkata artikel itu “mengelirukan dan berniat menimbulkan kemarahan”.

Laporan itu menyatakan Sarawak akan menggugurkan tuntutan royalti empat kali ganda yang dibayar oleh Petronas tetapi berusaha mendapatkan perkongsian pengeluaran dan perjanjian lain.

Laporan ini berdasarkan maklumat yang diberikan oleh “perunding utama”.

Laporan itu menyebut tuntutan tunggakan royalti Sarawak dan Sabah akan menyebabkan Petronas menanggung kos sehingga AS$7 bilion (RM29 bilion) setahun, berdasarkan kiraan oleh sumber.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bulan lalu mengatakan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan yang menambah royalti kepada negeri berkenaan kepada 20% tidak dapat dilaksanakan dan boleh “membunuh” Petronas, pengeksport ketiga gas asli cecair terbesar di dunia.

Petronas adalah sumber tunai terbesar kerajaan persekutuan dan menaikkan royalti itu boleh melumpuhkan program pengembangannya, kata laporan Reuters.

Syarikat berkenaan pada tahun ini berjanji melabur berbilion dolar dalam lapangan minyak di Brazil. – 31 Oktober, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen