3 beranak cedera ditetak, ditikam jiran


TIGA beranak cedera akibat ditetak dan ditikam menggunakan parang oleh jiran mereka yang dipercayai sedang berhalusinasi di Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut dekat Kuantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Mazlan Hassan berkata kejadian berlaku selepas suspek, seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai datang ke rumah mangsa pada 11.40 malam dan memanggil keluar seorang daripada mangsa, Mohd Nor Alami Zainal Abidin, 31, yang sedang menonton televisyen. Nor Alami yang mendengar panggilan itu bertindak keluar rumah dan ditetak suspek.

Mazlan berkata, kakak mangsa, Maizaituakmarani, 40, yang ketika itu bersiap untuk tidur di ruang tamu bersama anaknya Nor Syashakilla Hasbullah, 20, mendakwa melihat suspek berdiri di pintu rumah sambil memegang parang.

“Maizaituakmarani mendakwa menutup dirinya dengan selimut akibat ketakutan namun melihat suspek secara tiba-tiba meluru masuk ke rumah dan terus menetak anaknya di tangan kanan menyebabkan kedua-duanya menjerit.

“Jeritan itu menyebabkan bapa Maizaituakmarani, Zainal Abidin Omar, 63, yang berada di bilik bergegas ke ruang tamu, namun suspek bertindak menikam perut mangsa beberapa kali,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mazlan berkata Nor Alami kemudiannya masuk ke rumah dalam keadaan tangan kiri berdarah dan suspek yang tidak bekerja dan difahamkan pernah mendapatkan rawatan mental terus meninggalkan tempat kejadian.

Beliau berkata semua mangsa yang menerima rawatan awal di Hospital Jerantut dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk rawatan lanjut.

“Suspek juga berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian bersama parang dan sarungnya sepanjang 40 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa selain pakaiannya juga terdapat kesan darah,” katanya.

Mazlan berkata ujian awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan laporan air kencing juga adalah negatif.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. – Bernama, 31 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen