Tak salah letak Jeck Seng di Tg Piai, kata Umno


Lee Chi Leong

Tak salah BN letak calon 'kitar semula' di Tanjung Piai, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2019.

SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa merasakan tidak ada salah dengan keputusan Barisan Nasional meletakkan Wee Jeck Seng daripada MCA sebagai calonnya pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, walaupun ada cakap-cakap tentang “calon kitar semula”.

Malah, Annuar menyindir yang Pengerusi Pakatan Harapan yang kini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga “dikitar semula”.

“Okay sahaja, kita ada seorang perdana menteri yang sudah banyak kali dikitar semula. Saya tak rasa ada masalah.

“Jika awak ada perdana menteri kitar semula, apa salahnya dengan calon (pilihan raya)?” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

BN menamakan Wee yang merupakan penyandang kerusi Tangjung Piai selama dua penggal sebelum kalah pada PRU14 lalu.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini.

Sebelum ini, ada desakan yang mahukan Umno bertanding PRK itu.

Annuar berkata, ketidakpuasan hati akar umbi tentang calon pilihan raya daripada MCA adalah perkara biasa berlaku.

“Kita berbincang panjang dan bersetuju, demi kepentingan BN, kerusi itu ditandingi MCA.

“Sejak mula, kita sudah teliti semua aspek. Kita perlu pertimbangkan pandangan PAS juga dalam perkara ini,” katanya merujuk kepada sekutu utama Umno kini.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas kematian penyandangnya Md Farid Md Rafiq (PH-Bersatu) bulan lepas kerana penyakit jantung.

Calon BN, Wee kalah kepada Farid pada PRU14 dengan marjin tipis, 524 undi sahaja.

Pada PRU2013, Wee menang kerusi itu dengan majoriti 5,457.

Pada PRU14, calon PAS Nordin Othman mendapat 2,962 undi, manakala Wee mendapat 20,731 undi. Gabungan kedua-dua undi mereka lebih 2,000 berbanding yang diraih Farid.

PRK Tanjung Piai adalah yang pertama sejak Umno dan PAS memeterai kerjasama rasmi politik bulan lepas, dan akan menguji andaian gabungan mereka mempunyai sokongan kuat orang Melayu Islam, seterusnya membuka peluang menewaskan PH pada PRU15 nanti.

PAS mengumumkan tidak bertanding di Tanjung Piai.

Kawasan Parlimen itu mempunyai 52,986 pengundi berdaftar, 26,565 di DUN Kukup dan 26,421 di DUN Pekan Nenas.

57% pengundi adalah Melayu, 42% Cina dan 1% pengundi India. – 31 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen